Berita

Tarmizi bangga terima Anugerah Khas Jubli Perak

- Diterbit 1 Disember 2023 12:55 AM MYT

BERGELAR seorang penguat kuasa merupakan kenangan paling manis dan bermakna bagi Ahmad Tarmizi Abdullah, 43, sepanjang lebih dua dekad perkhidmatannya di Perbadanan Putrajaya (PPj).

Mula bertugas pada tahun 2001, bekas penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-Undang (Penyiasatan) di Kolej Universiti Saito, Petaling Jaya ini berkata dia sudah melalui 1,001 detik manis dan pahit ketika berkhidmat sebagai Ketua Pasukan Penguat Kuasa PPj.

“PPj merupakan organisasi yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan perkhidmatan awam yang telah menyumbang khidmat bakti dalam arus pembangunan negara,” ujar penerima Anugerah Khas Jubli Perak sempena Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa PPj 2023 Dan Sambutan Jubli Perak Penguat Kuasa PPj baru-baru ini.

Dalam masa sama, dia berkata pengiktirafan tersebut memberi motivasi untuk dirinya agar terus mengekalkan kecemerlangan di samping mempersiapkan mental dan fizikal untuk memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan terharu apabila menerima anugerah ini. Ia merupakan pengiktirafan yang besar atas usaha dan komitmen saya sepanjang menjalankan tugas sebagai Ketua Pasukan Penguat Kuasa.

“Kejayaan sekiranya tidak diiringi dengan pengalaman, tekad jati diri, usaha, modal serta minat yang bersungguh-sungguh pasti tidak akan menampakkan hasilnya,” ujarnya ia merupakan satu penghormatan untuk berkhidmat kepada negara tercinta.

Bapa kepada enam orang anak ini berkata dia gembira kerana dapat membantu memantapkan pasukan penguat kuasa daripada segi ilmu dan penampilan diri selain melihat perubahan positif dalam komuniti Putrajaya apabila pelbagai aduan yang diterima berjaya diselesaikan dengan tegas dan berhemah.

“Sepanjang berkhidmat sebagai penguat kuasa PPj, sudah pasti pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi antaranya saya perlu sentiasa bersiap siaga dengan situasi cemas dan berbahaya, membanteras kesalahan jenayah, kemalangan sewaktu bertugas selain perlu berhadapan pelbagai kerenah manusia yang tidak mahu bekerjasama dengan kami.

“Tetapi dengan latihan serta kerjasama yang mantap daripada pasukan, saya dapat mengatasinya dengan efektif dan efisien,” ujarnya yang berharap dapat terus menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai seorang penguat kuasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas