Berita

Malam Irama Warisan: Lagu tradisional pusaka bangsa

KAMARULZAMAN (tengah, berbaju batik) turut hadir menyaksikan Konsert Malam Irama Warisan yang mengetengahkan lagu-lagu tradisional di Panggung Sari, Istana Budaya pada Sabtu.
- Diterbit 1 Disember 2023 12:30 AM MYT

IRAMA muzik tradisional merupakan antara genre muzik yang membantu memartabatkan kesenian dan kebudayaan warisan melayu tradisional zaman-berzaman. Irama muzik ini tidak lengkap jika hanya penyanyi sahaja yang melontarkan suara sebaliknya ia juga perlu digabungkan dengan alatan muzik tradisional seperti gendang, angklung, gambus, seruling dan sebagainya.

Meskipun irama muzik tradisional ini popular sekitar tahun 80-an dan 90-an, namun kini usaha pelbagai pihak tidak kira agensi kerajaan mahupun para penggiat seni tempatan untuk memartabatkan kembali industri irama muzik tradisional ini terus dipergiatkan.

Terbaharu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Unit Muzik, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL menganjurkan Malam Irama Warisan (MIW) bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya pada 25 November lalu.

Menerusi program ini, DBKL mengetengahkan lagu-lagu dan tarian lama warisan Melayu merangkumi irama lagu berentak asli, zapin, joget dan inang antaranya Bunga Tanjung, Songkok Mereng, Joget Gadis Melayu, Ketipang Payung, Jalak Lenteng dan banyak lagi dengan sokongan 80 orang Orkestra Kuala Lumpur dan lima orang penyanyi iaitu Datuk Yusni Hamid, Syura, Dayang Nurfaizah, Bob Yusof dan Azizul Haqim.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh berkata konsert tersebut bagi menghargai lagu dan tarian lama warisan Melayu di samping merancakkan kembali industri irama muzik tradisional.

DAYANG

“Irama warisan merupakan pusaka bangsa yang perlu dikekalkan dan diwarisi oleh generasi akan datang. Lokasi Istana Budaya ini juga merupakan pengiktirafan DBKL terhadap irama warisan untuk mempersembahkan keunikan lagu-lagu muzik tradisional zaman-berzaman,” jelas beliau.

Sementara itu, Dayang Nurfaizah turut mengucapkan syabas dan tahniah di atas usaha DBKL mengetengahkan lagu-lagu irama tersebut selain dia turut teruja melihat kehadiran penonton generasi muda yang hadir.

“Lagu-lagu irama tradisional semakin mendapat sambutan terutama daripada orang muda. Mereka boleh menerima dan secara tidak langsung, ia sebenarnya memperluaskan pengetahuan mereka terhadap lagu-lagu lama yang belum pernah mereka dengar.

“Ini khazanah negara yang perlu dimartabatkan kerana ia mengingatkan tentang asal usul seseorang. Mungkin bagi generasi lama yang mendengar ia akan mengimbau kenangan namun bagi generasi masa kini, ia satu pendedahan baharu,” katanya.

Tambah Dayang, peluang berkolaborasi bersama Orkestra DBKL di pentas Istana Budaya merupakan satu pengalaman yang cukup berharga dan berharap konsert seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang.

SYURA

Bagi penyanyi, Syura Badron berharap industri muzik irama Melayu tradisional terus diketengahkan agar ia tidak lapuk ditelan zaman.

“Sebagai seorang penyanyi di dalam genre muzik ini, sudah pasti saya menantikan lebih ramai pelapis baharu bukan sahaja dalam kalangan umur 30-an hingga 40-an malah seawal usia 10 tahun lagi ia perlu dipupuk melalui pendedahan ilmu di luar mahupun dalam sesi pembelajaran sekolah.

“Diharapkan bukan sahaja di sekolah-sekolah seni, masyarakat boleh menimba ilmu tentang irama tradisional ini tetapi mungkin sekolah di seluruh Malaysia juga perlu mewujudkan satu kursus untuk genre tersebut.

“Saya juga bangga dengan Dayang Nurfaizah yang menyanyikan lagu irama Malaysia walhal dia bukanlah bergenre tersebut. Dia wajar diberikan kredit kerana mengetengahkan semula lagu seperti Ketipang Payung di mana ramai yang tidak tahu wujudnya lagu tersebut suatu ketika dahulu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas