SEBANYAK 73.3 peratus daripada 6.54 juta pekerja formal menerima gaji kurang daripada RM5,000 sebulan berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama Tahun 2023.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif.
Menurut Rafizi, hampir 56 peratus pekerja menerima gaji di bawah gaji kehidupan wajar (RM3,047 sebulan), manakala 47 peratus menerima gaji di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (RM2,589 sebulan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan 2022).
“Di samping itu, lebih daripada 10 peratus pekerja formal di negara ini menerima gaji di bawah kadar gaji minimum (RM1,500 sebulan).
“Laporan Gaji dan Upah Tahun 2022 menunjukkan trend pertumbuhan gaji keseluruhan pekerja di Malaysia yang kurang memberangsangkan, dengan kadar pertumbuhan purata gaji penengah bulanan dari tahun 2011 sehingga tahun 2022 hanya mencatatkan 4.1 peratus,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Rafizi, berdasarkan Laporan Statistik Siswazah 2022, gaji penengah graduan yang baharu memasuki pasaran buruh berkurang daripada RM2,066 sebulan pada tahun 2019 kepada RM1,624 pada tahun 2022.
“Berdasarkan laporan Bank Dunia, kadar pertumbuhan gaji pekerja dengan kelulusan tertiari di Malaysia dalam kalangan kumpulan berumur 20 hingga 29 tahun menunjukkan pertumbuhan yang perlahan berbanding kategori umur 30 tahun dan ke atas.
“Kadar pertumbuhan gaji bagi pekerja dalam kategori umur 20 hingga 29 tahun juga tidak jauh berbeza sama ada mempunyai kelulusan tertiari ataupun tidak,” ujarnya.
Rafizi menegaskan, gaji yang rendah telah memberi kesan serius terhadap kehidupan pekerja di negara ini, dengan sebahagian besar gaji digunakan bagi menampung perbelanjaan asas dan tidak berpeluang untuk membuat sebarang simpanan.
“Bank Dunia melaporkan bahawa
Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kadar simpanan isi rumah yang paling rendah di dunia.
“Hampir separuh daripada jumlah pekerja di negara ini tidak mempunyai daya tahan kewangan, terutama pekerja dalam kalangan belia,” katanya. – WILAYAHKU.