SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga rakan strategik bagi menggalakkan pendigitalan sektor kesihatan dan pemerkasaan komuniti.
Pertukaran itu melibatkan tiga rakan strategik iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA),Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil, melalui kerjasama itu, MCMC bersama FELDA, MMA dan MPS akan membantu komuniti masing-masing untuk menyesuaikan diri dengan landskap digital yang sentiasa berubah sejajar dengan ketersediaan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) sebagai pemangkin ekonomi digital negara.
“MCMC dan FELDA akan menjalinkan kerjasama melalui Kempen Komuniti Pingar yang menggalakkan pengggunaan pembayaran tanpa tunai melalui PEDi di kawasan-kawasan FELDA.
“Beberapa siri kempen kesedaran yang berpaksikan empat tonggak utama turut dilaksanakan iaitu literasi digital, keselamatan siber, peluang pendapatan, dan pembinaan kapasiti berdasarkan platform tanpa tunai akan turut melibatkan rakan-rakan strategik MCMC yang lain termasuk Touch ‘n Go, Foodpanda, Boost, Maybank MAE QR, dan lain-lain penyedia perkhidmatan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran MoU di antara FELDA, MMA dan MPS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena Persidangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) MADANI 2023, hari ini.
Terdahulu, beliau menyamsikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) tersebut bersama Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa serta Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Seri Mohamad Salim Fateh Din.
Turut sama menyaksikan, Pengarah Komunikasi Strategik FELDA, Puan Mastura Abdul Manap, dan Setiausaha Agung Kehormat MMA, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo serta Presiden MPS, Professor Amrahi Buang.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pertukaran MoU di antara MCMC dengan MMA dan MPS pula dijangka akan merancakkan lagi pendigitalan di klinik dan farmasi komuniti swasta melalui Geran Digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan Kertas Putih Perubatan. –WILAYAHKU