DALAM usaha merancakkan lagi jualan produk kraf, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menganjurkan Promosi Jualan Ini Kraf Malaysia pada 14 hingga 26 November di AEON Mall, Nilai.
Menurut Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Syardi Muhammad, promosi jualan tersebut adalah bersempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2023.

“Antara objektif penganjuran bagi menyediakan platform pemasaran kepada usahawan kraf dalam memasarkan produk kraf Malaysia sekali gus membantu meningkatkan pendapatan usahawan.
“Selain itu, meningkatkan kesedaran dan sokongan pengguna terhadap identiti serta kualiti produk kraf Malaysia sekali gus menyemai semangat kebanggaan terhadap pemakaian dan penggunaan produk kraf Malaysia dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda,” katanya kepada Wilayahku ketika ditemui pada Program Craft Media Tour di Negeri Sembilan.
Tambahnya platform seperti Hari Kraf Kebangsaan, Festival Kraf Johor dan lain-lain merupakan peluang buat usahawan kraf memasarkan produk mereka lebih meluas.
Terdahulu, promosi yang berlangsung selama 13 hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu, melibatkan seramai 27 orang usahawan kraf dalam bidang hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf.
Promosi Jualan Ini Kraf Malaysia merupakan inisiatif serta kerjasama antara Kraftangan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). – WILAYAHKU