Biz

Kebaya sulaman nyonya tembusi pasaran luar negara

ANTARA koleksi kebaya sulaman nyonya yang dihasilkan Khairos Imani Enterprise
- Diterbit 24 November 2023 2:15 AM MYT

KEBAYA merupakan pakaian tradisional yang melambangkan sebahagian besar warisan budaya dan identiti wanita pelbagai kaum antaranya Melayu, Peranakan (Cina, Baba Nyonya, Chetti, Siam, Kristang), masyarakat lain di Malaysia serta negara-negara di Asia Tenggara.

Pakaian tradisional itu juga amat sinonim dengan seni sulaman tangan. Menyedari seni tersebut yang semakin hilang ditelan zaman, pemilik Khairos Imani Enterprise, Khairiyah Ghazali tampil dengan perniagaan berkonsepkan sulaman nyonya.

Berkongsi idea berkenaan perniagaannya, Khairiah berkata ia tercetus kerana mahu mengangkat semula budaya tersebut di Malaysia.

โ€œProduk utama kami lebih kepada baju kebaya readymade selain turut menawarkan kebaya mini dalam bentuk cenderahati,โ€ katanya ketika ditemui Wilayahku dalam Program PASAREKA 2023 bertempat di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KHAIRIYAH

Tambahnya, tidak semua suka memakai kebaya kerana itu dia menampilkannya dalam bentuk cenderahati untuk menarik lebih ramai orang membeli dan seterusnya mengenali pakaian tradisional tersebut.

โ€œIa juga merupakan antara usaha dalam memartabatkan seni sulam terutama buat golongan belia agar mereka juga berminat seterusnya menjaga warisan seni ini.

โ€œKalau boleh saya mahu semua orang bukan sekadar minat tetapi mampu membuat seni sulam ini seterusnya memasarkan ia ke peringkat antarabangsa,โ€ ujarnya yang masih menggunakan mesin manual bagi mengekalkan warisan.

Khairiah berkata terdapat tiga rekaan yang ditawarkan antaranya kebaya lengkap, baju sahaja atau kebaya mini dan potongan kebaya yang diletakkan dalam bingkai gambar.

โ€œIa mempunyai pelbagai saiz kerana kita nak tunjuk proses jahitan dan bagaimana bahagian-bahagian kebaya itu dilakukan. Kebaya ini dia satu potongan yang cantik dan apabila dimasukkan dengan sulaman nampak lagi menarik serta unik.

โ€œKami guna jahitan sulaman (mesin dan sulam tangan),โ€ jelasnya harga yang ditawarkan bermula daripada RM160 sehingga RM5,000 mengikut jenis kain, corak dan saiz.

Ujarnya, dia juga tidak menyangka perniagaan yang diceburi sekadar mahu mengisi masa lapang akhirnya menjadi pendapatan utamanya.

MESIN jahit lama digunakan bagi mengekalkan warisan seni sulam itu sendiri

 

โ€œSebelum ini saya kerja di kilang dan ketika itu anak-anak masih kecil jadi saya perlu mengorbankan kerjaya untuk menjaga mereka. Bermula dari situ, saya mengikuti kelas sulaman Nyonya.

โ€œPada mulanya saya buat kecil-kecilan sahaja sambil jaga anak tetapi sekarang ia sudah berkembang maju,โ€ ujarnya Khairos Imani Enterprise merupakan satu-satunya perniagaan yang menawarkan konsep kebaya mini versi cenderahati di Malaysia.

TEMPAHAN DARI LONDON

Khairiah turut bernasib baik apabila produknya mendapat permintaan yang tinggi bukan sahaja dari dalam negara bahkan pernah menerima tempahan dari London.

โ€œKetika itu individu tersebut datang ke Malaysia untuk bercuti dan apabila melihat kebaya mini tersebut, mereka berminat untuk meletakkannya dalam galeri mereka yang terdapat di London.

โ€œIa merupakan satu penghargaan yang tidak ternilai di mana hasil tangan saya akhirnya dipamerkan di negara luar sekali gus berjaya membuka mata ramai orang,โ€ jelasnya penghantaran sebanyak 30 unit dilakukan secara serentak ke sana ketika itu.

Tambahnya seni sulaman Nyonya tidaklah sukar, ia bergantung kepada minat seseorang individu namun jika betul teknik serta cara yang diajar pasti sesiapa sahaja mampu melakukannya.

โ€œAnak muda yang masih mencari kerja boleh datang ke bengkel saya untuk belajar seni sulaman. Di bengkel tersebut mereka akan diajar asas sulaman dan jahitan kebaya daripada mula sehingga mampu menghasilkan sepasang baju.

โ€œMenerusi seni ini, mereka boleh membuat perniagaan berasaskannya. Saya jamin ia dapat menjana pendapatan,โ€ jelasnya orang ramai boleh membuat tempahan menerusi media sosialnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas