BIARPUN sukan karate sudah sebati dalam hidupnya sejak lebih 10 tahun lalu namun atlet Wilayah Persekutuan, Kathish Gnanasekaran tidak pernah mengabaikan pelajaran.
Bagi atlet berusia 22 tahun ini, untuk bergelar atlet yang berjaya bukan sahaja perlu menumpukan bidang sukan namun akademik juga perlu seiring supaya tidak dipandang sebagai ‘tin kosong’.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran di Universiti Malaya (UM) ini berkata, dia sentiasa berpegang pada janji dengan ibu dan bapanya untuk meraih kejayaan cemerlang dalam kedua-dua bidang yang diceburi.
“Mereka meletakkan harapan tinggi jadi saya perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan latihan kerana walaupun bergelar atlet sepenuh masa, pencapaian akademik juga perlu diberi perhatian,” ujarnya menyimpan cita-cita untuk bergelar pegawai penyiasat suatu hari nanti.
Berkongsi lanjut dengan Wilayahku, anak bongsu daripada dua orang adik-beradik ini berkata, disiplin yang ketat penting untuk memastikan dirinya berjaya menentang pihak lawan.
“Buat masa ini, sesi latihan adalah setiap hari. Tidak ada kompromi. Selain itu, saya turut menfokuskan kepada ketahanan mental kerana atlet karate perlu fokus 100 peratus sebelum beraksi bagi mengelakkan sebarang kecederaan.
“Nampak mudah namun perlu bijak mengatur strategi dan mencari kelemahan lawan adalah perlu supaya digeruni dan bergelar juara,” ujarnya yang menjadikan karateka Azerbaijani, Rafael Mahir Aghayev sebagai idola.
Menyentuh perkembangan terbaharunya, dia kini sedang menumpukan sepenuh perhatian dan mempergiatkan latihan bagi menghadapi Kejohanan Karate 1 Series A yang akan diadakan Disember ini di Portugal.
“Diharapkan kemenangan menjadi milik saya seterusnya dapat mengharumkan nama negara. Saya sentiasa mencabar diri untuk ke peringkat yang lebih tinggi sekurang-kurangnya tiga tahun dari sekarang.
“Saya memasang impian untuk beraksi di WKF dan Olimpik sebelum umur 25 tahun. Diharap apa yang diinginkan tercapai dalam tempoh tersebut,” ujarnya yang ingin beraksi pada Kejohanan Karate Dunia (WKF). – WILAYAHKU