INISIATIF Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menganjurkan konsep ‘Menyumbang Sambil Berhibur’ berjaya menarik minat individu, syarikat swasta termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyumbang ke dana Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP sekali gus berpeluang mendapatkan tiket ke Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir pada Sabtu lalu.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata hasil daripada sumbangan para penaja, YWP memberikan sebanyak 30 tiket percuma sebagai tanda penghargaan.
“Tiket-tiket konsert yang diberikan itu merupakan tiket eksklusif dan istimewanya mereka berpeluang bertemu penyanyi legenda itu dalam sesi Meet and Greet.
“Para penaja yang telah menyumbang juga menerima resit pelepasan cukai, promosi jenama dalam media sosial YWP, akhbar Wilayahku (anak syarikat YWP) selain cenderamata dan sijil penghargaan,” kata beliau.
Menerusi laporan Wilayahku sebelum ini, YWP menawarkan tiket ke Konsert Gendang Pati Datuk M Nasir kepada mana-mana pihak, syarikat mahupun NGO yang menyumbang sebanyak RM10,000 dan ke atas ke tabung berkenaan.
Tawaran yang dilaksanakan itu merupakan promosi pertama dan julung kalinya diadakan oleh YWP di mana ia terbuka kepada warga Wilayah Persekutuan dan seluruh rakyat Malaysia.
Mengulas lanjut, Gulam berkata inisiatif yang dilaksanakan itu merupakan satu diversi berlainan yang diketengahkan oleh YWP dengan kerjasama bersama pihak swasta.
“Antara objektif kami adalah menjemput individu dan syarikat korporat untuk bersama-sama membantu golongan yang kurang berkemampuan di Wilayah Persekutuan di samping menghulurkan sumbangan kepada saudara-saudara Islam di bumi Palestin.
“Kalau sebelum ini, sumbangan yang dilaksanakan oleh YWP bersifat agama, kebajikan dan pendidikan, kali ini kita cuba tonjolkan kelainan menghulur sumbangan menerusi program-program bergenre hiburan,” ujar beliau berharap dapat menganjurkan lagi program kebajikan yang bersifat hiburan.
Tambah Gulam, jalinan kerjasama dengan pihak penaja akan berterusan bukan sahaja untuk konsert hiburan malah apa jua program yang dianjurkan oleh YWP pada masa akan datang.
Terdahulu, YWP berperanan menaik taraf kehidupan golongan miskin dan tidak berkemampuan di sekitar Wilayah Persekutuan sejajar dengan lima fokus utama iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T).
Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, YWP telah membelanjakan tabungan mencecah lebih RM100 juta melalui pelbagai bentuk program kebajikan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada semua kaum khususnya ketika pandemik COVID-19. – WILAYAHKU