KONSERT Gendang Pati Datuk M Nasir Live In Kuala Lumpur berjaya memikat hati peminat setia penghibur legenda berusia 66 tahun itu yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.
Figura serba boleh ini mampu menarik perhatian golongan muda untuk menikmati lagu-lagu pelbagai genre muzik dan irama daripada Nusantara antaranya Jawa, Inang dan joget.
Berlangsung selama tiga jam dengan hampir 30 dendangan lagu popular sepanjang empat dekad dalam industri muzik, ternyata ia merupakan satu persembahan yang tidak menghampakan.
Bertemakan pesta rakyat, konsert yang dihadiri seramai 2,800 penonton berjaya menggamatkan suasana di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam Sabtu lalu.
Kemunculan burung cenderawasih di atas pentas diiringi lagu Phoenix Bangkit dan Semakin Nyata menjadi tanda bermulanya persembahan yang dinanti-nanti oleh peminat penghibur yang berasal dari Singapura ini.
โJangan berasa terasing. Saya akan bawa anda ke Pulau Kencana,โ ucap beliau lantas mempersembahkan lagu Inang Pulau Kencana.
Menjadikan gendang sebagai elemen utama. Alunan gambus, rebab dan perkusi digabungkan menjadi satu bersama-sama alatan muzik berasal dari Brazil, pandeiro.
Alat muzik tersebut yang diperkenalkan oleh M Nasir dimainkan secara solo lantas menerima tepukan gemuruh penonton.
Persembahan bertenaga itu diiringi 16 pemuzik hebat iaitu pengarah muzik dan pemain gitar, Nan Alias, Rafi Mohd (gitar), Norman (bass), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam dan Ujang Exists (drum) serta penyanyi latar, Eja, Widy, Yuaz dan Awe.
Selain itu, ia dilengkapkan lagi dengan penampilan pemain perkusi, Paang, Mat Din, Che Long dan Anas. Selain dibantu oleh Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.
Beliau kelihatan lincah dan bertenaga ketika menyampaikan rangkaian lagu popularnya antaranya Inang Pulau Kencana, Secangkir Kopi Semanis Puan, Kias Fansuri, Melawan Arus, Tanya Sama itu Hud Hud, Raikan Cinta, Sentuhan Listrikmu, Mustika, Apokalips dan Mentera Semerah Padi.
Menariknya, persembahan malam itu turut menampilkan kelainan dengan mengundang kumpulan koir dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, Ipoh, Perak bagi mengiringi lagu Bagaikan Sakti.
Pada konsert itu juga, Datuk M Nasir turut membawa penonton mengimbau kembali ke era 80-an dengan mendendangkan lagu popular yang dihasilkannya seperti Gadisku (Search), Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (Alleycats), Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), Tiara (Kris), Fantasia Bulan Madu (Search), Hukum Karma (Wings) dan Pawana (Search).
Rata-rata penonton teruja sambil ikut serta menyanyikan kesemua tujuh lagu nostalgia tersebut dengan penuh perasaan. Konsert tersebut tidak hanya menyentuh hati tetapi menggabungkan semua perasaan menjadi satu.
Ia merupakan sebuah persembahan yang puitis dan artistik, mencipta kenangan abadi yang akan dikenang oleh setiap penonton yang hadir dan setia sehingga ke penghujung.
Dalam suasana kegembiraan, Konsert Gendang Pati ini juga tidak melupakan kesengsaraan yang dihadapi penduduk di bumi Palestin. Justeru, pada konsert tersebut, M Nasir menyanyikan sebuah lagu berjudul Masirah yang diilhamkan daripada kejadian sebenar pejuang Palestin, Muhammad Al Durrah berdepan tentera Israel.
Uniknya, lagu tersebut ditulis lebih 20 tahun lalu dan kini menjadi dendangan penutup konsert tersebut sambil diiringi dengan bacaan doa qunut nazilah serta bacaan puisi Thaurah Palestin karya Datuk Dr Usman Awang yang telah dideklamasikan oleh Amerul Affendi sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.
Sementara itu, M Nasir ketika ditemui Wilayahku berpuas hati dan gembira apabila berjaยญya melaksanakan konsert tersebut dengan jayanya pada malam yang disifatkan beliau cukup bermakna.
โSaya rasa sangat gembira kerana dapat menjalankan konsert ini. Untuk konsert ini, kesemuanya kami buat sendiri, handle sendiri tapi apa-apa pun saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama,โ kata beliau – WILAYAHKU
Foto: SHUAIB AYOB
Video: ARIFF AZMAN & HASIF HALIMI