KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah perbelanjaan langsung penjagaan kesihatan untuk menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) adalah sebanyak RM9.65 bilion iaitu merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata anggaran ini dibuat berdasarkan perbelanjaan pada tahun 2017 dan laporan ini telah dikeluarkan pada tahun 2022 melalui The Direct Health-Care Cost of Non Communicable Disease in Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan KKM.
Menurut Zaliha, jumlah perbelanjaan bagi penyakit diabetes adalah sebanyak RM4.38 bilion (45.38 peratus) daripada keseluruhan perbelanjaan penyakit NCD.
“Ia diikuti dengan perbelanjaan bagi merawat penyakit kardiovaskular sebanyak RM3.93 bilion (40.73 peratus) dan RM1.34 bilion (13.89 peratus) bagi merawat penyakit kanser.
“Perbelanjaan ini adalah merangkumi perbelanjaan kemasukan ke hospital, penjagaan primer di klinik kesihatan, rawatan pesakit luar di hospital, pemeriksaan dan ujian kesihatan serta pembiayaan perubatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) berhubung jumlah yang dibelanjakan untuk menangani NCD terutamanya diabetes dan perancangan untuk menangani prevalens NCD yang tinggi di Malaysia.
Tambah beliau, bagi tahun 2017, NCD telah memberi impak negatif kepada ekonomi, di mana kos tidak langsung akibat NCD adalah sebanyak RM12.88 bilion dalam bentuk kehilangan produktiviti.
“Diabetes mencatatkan kehilangan produktiviti tertinggi sebanyak RM 5.74 billion dan kardiovaskular sebanyak RM 5.32 billion,” ujarnya.
Zaliha turut memberitahu bagi menangani prevalens NCD yang tinggi di negara KKM memperkasa implementasi pelan komprehensif yang dinamakan Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit NCD 2016-2025.
“Selain itu, KKM juga melaksanakan Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN), melaksanakan aktiviti advokasi dan memperkukuhkan aktiviti saringan kesihatan.
“KKM turut mengadakan pelaksanaan aktiviti promosi dan pendidikan kesihatan di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) serta pengenaan duti eksais terhadap minuman bergula ‘ready to drink’ (RTD),” katanya. – WILAYAHKU.