KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan sebanyak 6,290 kompaun bernilai RM1,457,300 bagi kesalahan merokok di kawasan terlarang sepanjang bulan lepas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kompaun tersebut dikeluarkan melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
“Susulan itu, sebanyak 22,362 premis yang dilawati, sejumlah 10,051 notis kesalahan telah dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut Muhammad Radzi, sebanyak 3,453 kompaun bernilai RM1,726,500 turut dikeluarkan dengan purata setiap kompaun RM500 bagi kesalahan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.
“Sejumlah 385 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 137 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda berjumlah RM262,160.
“Tindakan penguatkuasaan dijalankan bertujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi,” jelasnya.
Selain itu, Muhammad Radzi turut memberitahu, sebanyak 163 premis diperintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
“Sepanjang tempoh penguatkuasaan sebanyak 6,273 premis makanan telah diperiksa oleh pihak KKM.
“Tindakan penutupan sementara premis makanan tersebut adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” ujarnya.
Beliau berkata, KKM sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhdimatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia termasuklah mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam.
“Tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil KKM. Orang ramai serta semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum,” jelasnya. – WILAYAHKU