Atlet Wilayah

Martabat sukan sepak takraw, Syahir rancang buka akademi sendiri

AKSI Muhammad Syahir (tengah, jersi kuning) ketika Kejohanan Asian Games di Hangzhou baru-baru ini.
- Diterbit 17 November 2023 1:45 AM MYT

HAMPIR 15 tahun mendapat pendedahan dalam sukan sepak takraw, tekong utama negara, Muhammad Syahir Mohd Rosdi, memasang impian untuk membuka akademi sendiri apabila bersara daripada dunia sukan tersebut satu hari nanti.

Atlet berusia 27 tahun itu berkata pem­bukaan akademi itu merupakan sebahagian daripada rancangannya untuk memperkasakan bakat pada peringkat akar umbi dalam usaha memastikan negara tidak ketandusan pelapis bagi sukan sepak takraw.

“Akademi itu merupakan satu daripada impian saya dan mungkin ia akan ditubuhkan dalam masa lima hingga 10 tahun dari sekarang.

“Selain daripada penubuhan sebuah akademi yang bagus, saya juga mahu menganjurkan program atau kem sepak takraw buat kanak-kanak pada masa hadapan,” kongsinya kepada Wilayahku.

SYAHIR

Selain itu, Muhammad Syahir berharap pihak bertanggungjawab dapat mengangkat semula martabat sepak takraw yang merupakan sukan tradisi turun-temurun yang menjadi kebanggaan serta kebudayaan unik dalam kehidupan masyarakat.

“Kami sebagai atlet mahu pihak yang sepatutnya serius dalam memastikan pembangunan sukan sepak takraw terus berkembang di peringkat antarabangsa kerana ini merupakan peluang keemasan yang perlu direbut dan dijadikan inisiatif dalam menghidupkan kembali sukan tradisional yang sangat rapat dengan masyarakat kita.

“Ia penting untuk masa depan para atlet sukan sepak takraw memandangkan permainan ini bukanlah sesuatu yang baharu,” ujarnya sukan ini perlu dipromosikan dengan lebih konsisten selaras dengan hasrat negara yang mahu melahirkan komuniti cergas, mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif bersukan.

Di samping itu, menurut anak ketiga daripada enam orang adik-beradik ini, jika masih diberi peluang untuk menyarung jersi kebangsaan, dia akan menyahut cabaran dalam membina nama dan reputasi demi negara dan sukan sepak takraw Malaysia.

Dalam masa sama, anak jati Kuala Lumpur ini juga berharap pihak bertanggungjawab dapat menambah baik sistem semakan video atau challenge di kejohanan peringkat ASEAN, Asia mahupun dunia.

“Sistem yang digunakan di dalam sukan sepak takraw ketika ini sangat mengecewakan selain tidak mencapai taraf kejohanan tertinggi dan berprestij. Malahan, sistem yang digunakan di Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) Malaysia lebih bagus berbanding di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap challenge di peringkat antarabangsa dapat dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa memandangkan baru-baru ini dalam final acara regu Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thai di Bangkok disebabkan sistem challenge yang lemah, kami (Malaysia) telah dinafikan hak apabila bola libasan yang terakhir dari Thailand itu sepatutnya keluar,” tambahnya yang akan menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali sebagai penutup tahun 2023. – WILAYAHKU

Pencapaian Muhammad Syahir
2023 – SEA Games Cambodia – Tempat kedua
2022 – Asian Games Hangzhou – Tempat kedua
2018 – Asian Games Palembang – Emas

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas