KEGIGIHAN dua beranak Rasinah Japar, 67, dan Sharaizah Mohd Arip, 47, dalam usaha memartabatkan busana tradisional kaum Kadayan wajar dipuji apabila mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan menjual dan menyewa busana tersebut.
Memulakan perniagaan Tanjung Subuk-Subukkan yang terletak di Pasar Sentral, Labuan pada tahun 2015 ternyata usaha mereka membuahkan hasil apabila mendapat tempahan yang menggalakkan sehingga ke negara jiran, Brunei.
Menceritakan detik permulaan berkecimpung dalam seni jahitan, Rasinah berkata ia bermula apabila anaknya meminta menjahit busana tradisional Kadayan untuk dipakai dalam satu majlis.
“Sebenarnya agak sukar untuk mencari pakaian tersebut jadi, dari situ saya terfikir tidak mustahil jika suatu hari nanti generasi muda tidak tahu bagaimana rupanya busana kaum Kadayan sedangkan ia adalah lambang keunikan budaya.
“Mujurlah dengan pengalaman yang ada dalam bidang jahitan yang dipelajari daripada ibu memudahkan saya untuk menjahit baju tradisonal tersebut,” ujarnya yang berpandukan contoh busana asal kaum itu.
Bercerita lanjut, Rasidah berkata selain menjahit pakaian tradisi Kadayan, dia turut menerima tempahan baju tradisional pelbagai etnik namun pelanggan perlu membawa contoh atau gambar pakaian tersebut bagi mengenal pasti corak dan warna kain yang digunakan oleh etnik masing-masing.
“Busana adalah lambang etnik, setiap corak dan warna amat berbeza. Jadi untuk mengelakkan sebarang kesilapan, kami meminta setiap pelanggan membawa contoh tersebut,” ujarnya ketika ditemui Wilayahku.
Menyentuh tentang cabaran yang dihadapi, Rasinah berkata dia perlu berhati-hati untuk menambah aksesori seperti manik, batu permata dan sebagainya untuk mencantikkan baju tradisional tersebut dan dalam masa yang sama tidak mengubah corak dan warna yang asal.

“Alhamdulillah setakat ini kami menerima respons yang sangat baik daripada pelanggan yang rata-ratanya memuji kekemasan busana yang dijahit selain harganya yang berpatutan bermula RM500 hingga RM600.
“Mungkin bagi mereka yang tidak arif tentang jahitan busana tradisi akan menganggap ia mahal namun ini merupakan antara harga mampu milik sesuai dengan hasil yang dipersembahkan.
“Proses pembuatannya memerlukan masa sekurang-kurangnya satu minggu untuk disiapkan selain ketelitian adalah perkara penting yang perlu dititikberatkan untuk memenuhi kehendak pelanggan,” ujarnya sebarang tempahan perlu dibuat seminggu lebih awal.
KHIDMAT SEWAAN
Tanjung Subuk-Subukkan turut menawarkan perkhidmatan sewaan baju tradisional kepada pelanggan yang ingin menggunakan pakaian tersebut untuk majlis-majlis keraian.
“Ketika ini, kami mempunyai lebih 10 helai busana tradisional daripada pelbagai etnik seperti Iban, Brunei, Bisaya, Kadazan, Rungus untuk peringkat umur kanak-kanak sehingga dewasa.
“Selalunya pelanggan yang datang ke kedai kami tidak pulang dengan perasaan kecewa kerana busana yang diinginkan lengkap untuk sebarang majlis keraian berkonsepkan kebudayaan dan etnik,” ujarnya yang menetapkan harga sewa RM150 untuk sepasang.
Tambahnya lagi, dia bersyukur permintaan busana tradisional sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat biarpun dalam zaman yang serba moden kini.
“Insya-Allah jika diizinkan saya ingin memperbesarkan lagi rangkaian perniagaan ini supaya ia dapat bersama-sama pihak bertanggungjawab terus memartabatkan busana tradisi bukan sahaja di negara ini bahkan ke luar negara,” ujarnya. – WILAYAHKU