KEENAKAN burger tepi jalan memang diakui oleh sesiapa sahaja. Bukan sahaja sedap malah harga yang ditawarkan juga murah sekali gus menjadikan ia pilihan ramai.
Pun begitu, seiring peredaran masa, burger tersebut juga melalui transformasi yang membuatkannya mampu bersaing dari segi keenakan dengan burger popular keluaran syarikat makanan segera ternama yang ada.
Salah satunya, 5ive6ix Burger yang terletak di Jalan Dwi Tasik, Bandar Sri Permaisuri Cheras, Kuala Lumpur. Ia menampilkan pelbagai jenis smashed burger selain sos buatan sendiri dengan berkonsepkan American Style.
Menurut Pengurus Operasinya, Nabil Sabiq, 32, pelanggan boleh memilih sama ada ingin membeli secara berasingan dengan harga bermula RM10 hingga RM22 mengikut jenis pilihan burger atau hidangan set yang disajikan bersama air dan kentang goreng.
“Hot selling kita adalah spicy green beef burger, beef streaky burger dan 56 cheesy beef atau chicken. Tiga menu ini sentiasa menjadi pilihan ramai kerana rasa cheese yang melimpah, inti daging yang padat serta keenakan sos.
“Menu yang paling digemari ramai ialah spicy green beef burger yang ditambah dengan sambal hijau buatan sendiri serta sayur-sayuran,” katanya kepada Wilayahku.
Tambahnya, bagi yang gemar masakan pedas pula, disarankan untuk memilih spicy red chicken dan spicy green beef atau menambah sos.
“Kadang-kadang ada pelanggan memang suka makan pedas tapi tak nak pedas sangat. Jadi kami buat keputusan dengan menghasilkan sos yang semua orang boleh makan.
“Sudah semestinya, cita rasa pelanggan keutamaan kami. Sudah tiga kali sebenarnya 5ive6ix Burger menukar menu burger supaya ia betul-betul kena dengan selera mereka,” ujarnya.
Tambahnya, mereka sangat mementingkan kualiti dan disebabkan itu, roti 5ive6ix Burger hanya mampu bertahan selama tiga hari sahaja untuk memastikan pelanggan sentiasa mendapat roti yang segar dan sedap.
“Kita mahukan rasa yang sedap dan mengekalkan kualitinya agar keenakannya sentiasa kekal dalam ingatan pembeli,” ujarnya yang mampu menjual sekurang-kurangnya lebih 100 biji burger sehari dengan memfokuskan kepada warga penduduk sekitar Cheras, Kuala Lumpur.
Menariknya, Nabil berkata selain penduduk sekitar Cheras, dia juga pernah menerima tempahan burger dari pelanggan di Rawang, Shah Alam termasuklah Pulau Pinang.
5ive6ix Burger terbahagi kepada dua jenis iaitu daging dan ayam antaranya classif beef 5ive6ix (RM16), sunny side up (RM18), spicy green beef (RM18), beef streaky burger (RM22) dan 56 cheesy beef (RM22), classic chicken 5ive6ix (RM16), spicy red chicken (RM18) dan 56 cheesy chicken (RM22). – WILAYAHKU
Foto oleh SYUQQREE DAIN