Singgah

Kenali sejarah Prang Besar di Putrajaya Story

- Diterbit 17 November 2023 2:35 AM MYT

SELAIN dikenali dengan reka bentuk bangunan ikonik, Putrajaya kini dipenuhi dengan pelbagai lokasi menarik wajib singgah iaitu Putrajaya Story. Terletak di Presint 1, Putrajaya Story merupakan sebuah galeri tertutup yang terletak di Souq Putrajaya berhampiran Dataran Putra dan Masjid Putra.

Destinasi popular ini menjadi tarikan pengunjung yang singgah ke Putrajaya kerana keunikannya yang menceritakan kisah di sebalik kewujudan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan tersebut.

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Souq Putrajaya, Ridzwan Ali, galeri tertutup ini hanya berkeluasan 6,000 kaki persegi namun mampu memuatkan lebih 20 pameran dengan bertemakan It’s Time to Discover Putrajaya Story.

“Putrajaya Story menonjolkan pameran interaktif keunikan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara seperti Fotografi Panorama Putrajaya, seni bina bangunan ikonik, jambatan, 3D Art Wall, Diorama Tasik dan Cruise, Floria Tunnel, Bird Watching Area, Water Sport Activities and Hot Air Balloon, Lukisan Magis Glow In The Dark serta galeri mengenai tokoh penting negara.

“Ia berkonsepkan 3E iaitu Pendidikan (Educational), Pengalaman (Experience) dan Keseronokan (Enjoyable) dan dalam masa yang sama menjadi tempat paling instagrammable dan lokasi tumpuan bagi TikTokers di Putrajaya,” ujarnya galeri tertutup ini mula dibuka pada 22 Oktober 2022.

Berkongsi mengenai penubuhan Putrajaya Story, Ridzwan berkata tujuannya adalah untuk berkongsi pengetahuan tentang peranan dan perkembangan penubuhan Putrajaya sejak dari Prang Besar hingga ke Putrajaya pada masa kini.

“Ia tidak hanya tertumpu kepada kecanggihan bangunan kerajaan, pejabat, kompleks komersial dan perumahan moden yang dikelilingi taman dan tasik serba indah sahaja,” katanya Putrajaya Story cuba merungkai pelbagai keunikan lain yang perlu diketengahkan serta menjadi tumpuan pelawat dan pelancong yang hadir ke Putrajaya.

Tambahnya, Putrajaya Story ini adalah inisiatif syarikat DR Group Holdings Sdn Bhd yang merupakan syarikat sama menubuhkan Muzium Coklat (Chocolate Museum) di Kota Damansara, Selangor.

“Putrajaya Story ini ditubuhkan untuk menjadi sebahagian daripada pelan pembangunan Tourist One Stop Centre yang terletak di Dataran Putra agar pusat pentadbiran kerajaan persekutuan ini lebih kondusif serta vibrant dan berupaya menarik pelawat dan pelancong ke Putrajaya.

“Kita telah menerima pelbagai lapisan pengunjung dari dalam dan juga luar negara di mana sehingga kini kira-kira 85,000 pelancong telah memilih Putrajaya Story sebagai lokasi wajib singgah,” katanya.
Ridzwan berkata untuk terus memacu industri pelancongan di Putrajaya, pihaknya terus menawarkan harga tiket promosi sehingga menjelang akhir tahun 2024.

“Ia bermula dengan harga serendah RM3 untuk kanak-kanak dan RM5 (dewasa) bagi warganegara Malaysia manakala RM4 hingga RM7 bagi pelawat luar negara. Lawatan berpandu juga diadakan berdasarkan permohonan yang dikendalikan oleh kakitangan Putrajaya Story,” jelasnya bagi kanak-kanak 3 tahun ke bawah dan Orang Kurang Upaya (OKU) kemasukan adalah percuma.

KEDAI COKLAT TERBESAR DI LEMBAH KLANG

PENGEMBARAAN pengunjung Putrajaya Story akan berakhir di bahagian kedai Coklat Souq Shoppe di mana mereka berpeluang membeli-belah pelbagai jenis coklat dari jenama tempatan dan luar negara di pusat jualan coklat terbesar Lembah Klang itu.

Ridzwan berkata Souq Shoppe @ Putrajaya itu telah beroperasi sejak 15 Oktober 2021 dan menjual lebih 300 jenis coklat berjenama serta produk wangian bertaraf antarabangsa setaraf dengan Pulau Langkawi dan Kuala Lumpur International Airport (KLIA).

Selain itu, tambahnya lagi terdapat pelbagai kemudahan lain yang disediakan di Souq Putrajaya antaranya taman permainan kanak-kanak (outdoor), kios sewaan basikal dan permainan kanak-kanak, restoran serta kafe, jeti Cruise Tasik Putrajaya, tandas awam serta kedai cenderamata.

“Pihak Souq Putrajaya juga sedang giat untuk membangunkan pelbagai tarikan lain pada tahun 2024 bagi menampung jumlah pelawat dan pelancong yang semakin meningkat,” katanya. – WILAYAHKU

Foto oleh SYUQQREE DAIN

Info:
Alamat: Presint 1, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya
Hubungi: 019-859 8159
Waktu oeprasi:Putrajaya Story (9 pagi hingga 5 petang), Souq Shoppe (9 pagi hingga 9 malam)
Media sosial: @putrajayastory, @putrajaya.story

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas