JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan usaha penaiktarafan medan selera, gerai serta warung menerusi Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur.
Program tersebut merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Madani untuk mengindahkan semula serta menaik taraf fasiliti gerai-gerai peniaga dan penjaja kecil supaya golongan ini dapat menjalankan perniagaan dalam suasana kondusif.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, DBKL sedang melaksanakan penyelenggaraan di seluruh 68 pusat penjaja milik mereka di sekitar ibu kota.
“Sambil kita sibuk membangunkan gedung dan mercu tanda, usah kita sisihkan penjaja dan peniaga yang juga mahukan tempat selesa berserta kemudahan kepada mereka untuk mencari rezeki selain menjadi lokasi tarikan pengunjung,” ujar beliau yang akan lebih berbangga jika Kerajaan Perpaduan memberi perhatian dan ruang yang baik kepada penjaja serta peniaga kecil di ibu kota serta bandar besar lain di seluruh negara.
Anwar berkata terdapat beberapa lokasi yang telah ditambah baik sepenuhnya seperti D’Anjung Selera Madani, Jalan Jujur, Bandar Tun Razak; Medan Selera Bandar Sri Permaisuri, Cheras; Kompleks Tun Sambanthan, Bruckfields; Pusat Penjaja Madani, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan banyak lagi.
“Antara kerja-kerja naik taraf yang telah dijalankan melibatkan pengindahan fasad serta sistem lampu limpah, pertukaran dan penambahbaikan bumbung, kerja-kerja cat semula struktur bumbung dan dinding tepi, pendawaian semula, penggantian semula kipas dan lampu di ruang sama termasuk penggantian paip air yang pecah.
“D’Anjung Selera Madani telah ditambah baik dengan pembinaan semula 24 gerai berkunci dan tiga unit kios, dilengkapi kemudahan surau, tandas, rumah sampah yang lebih kondusif serta 48 petak parkir kenderaan.
“Selain itu, terdapat enam pusat penjaja dan gerai milik DBKL di kawasan Brickfields iaitu di Kompleks Tun Sambanthan, Medan Selera Tempat Letak Brickfields, Kedai Bunga Little India, Kedai Burung Little India, Little India Seri Kota dan Kedai Bunga di Jalan Scott telah dinaik taraf serta kerja-kerja pengindahan telah dilaksanakan,” jelas beliau kerajaan akan terus berusaha menyediakan kemudahan awam yang selesa dan diharapkan dapat memperkasa serta meningkatkan pendapatan peniaga seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru semua kerajaan negeri supaya mempunyai dasar dan perancangan jelas dalam usaha menaik taraf dan mengindahkan gerai dan warung yang menyumbang kepada pendapatan rakyat terbanyak.
“Saya telah bincang dan jelaskan mengenai hasrat kerajaan kepada Menteri Besar, Ketua Menteri berkaitan usaha membangun kemudahan rakyat terbanyak ini, asasnya adalah untuk mengangkat martabat serta memberi penghormatan ihsan kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya dasar dan perancangan yang jelas amat penting dalam usaha menukar wajah suram medan selera, gerai dan warung secara menyeluruh di seluruh negara.
Sementara itu, Anwar berkata beliau berpuas hati dengan program yang dilaksanakan DBKL dalam mengindahkan gerai penjaja di sekitar kawasan ibu negara.
Menjadikan pembangunan semula medan selera D’Anjung Selera Madani sebagai contoh, Anwar berkata langkah menaik taraf pusat yang mempunyai 24 unit gerai dilengkapi kemudahan asas yang selesa, kondusif dan bersih itu adalah bertepatan dengan matlamat yang digariskan beliau dalam menukar wajah Kuala Lumpur sejak mengetuai kerajaan pada November tahun lepas.
“Setakat ini saya berpuas hati dengan pembangunan Kuala Lumpur, dan saya mahu dalam tempoh kurang tiga tahun ini, puluhan projek seperti ini (D’Anjung Selera Madani) dapat dilaksanakan bukan sahaja di ibu negara. – WILAYAHKU
Foto oleh SYUQQREE DAIN
Video oleh HASIF HALIMI