KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) belum menerima aduan pemberhentian kerja susulan kempen boikot terhadap syarikat dan produk berkaitan Israel.
Menurut Menterinya, V Sivakumar, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan pembuangan kerja dan sekiranya ada, pihaknya akan melihat mengenainya.
“Sekiranya terdapat mana-mana pekerja yang terjejas dibuang kerja dan sebagainya mereka mempunyai hak untuk membuat aduan kepada KSM dan kita akan lihat perkara ini untuk diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan 2023 Putrajaya hari ini.
Turut hadir, Timbalannya, Mustapha Sakmud dan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja ,Kamal Pardi.
Sementara itu, Sivakumar menyatakan keanggotaan kesatuan sekerja telah mencapai 1,008,371 jumlah keanggotaan pada 30 Oktober lalu sekali gus mencapai sasaran lebih awal dari jangkaan asal kerajaan pada tahun 2025. – WILAYAHKU