Berita

Ramalan cuaca signifikan bermula Khamis bagi tempoh 5 hari

Gambar hiasan
- Diterbit 14 November 2023 7:12 AM MYT

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan bagi tempoh lima hari bermula 16 hingga 20 November depan di pantai timur dan utara Semenanjung serta timur Sabah.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan monsun dijangka berlaku dalam tempoh tersebut.

Tambahnya, keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan berkenaan selain angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di Laut China Selatan.

“MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang melibatkan negeri Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa pada 16 hingga 18 November ini.

“Manakala, bagi negeri Pahang dan Sabah pula berkuat kuasa pada 17 hingga 19 November depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, jelasnya, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang turut berkuat kuasa pada 16 hingga 19 November ini.

“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” ujarnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas