Oleh SHUAIB AYOB
Foto SHUAIB AYOB
MESKIPUN dalam kesibukan masyarakat sekitar mencari rezeki, sejurus azan berkumandang, ruang solat terus diisi, menyerahkan segalanya pada Ilahi.

Tahukah anda? Masjid yang tersergam indah di tengah kesibukan kota ini merupakan masjid tertua di bandar raya Kuala Lumpur.
Masjid India mula dibina sejak 1863, perasmiannya disempurnakan DYMM Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 1974.

Biarpun usianya mencecah ratusan tahun atau lebih satu abad, sehingga kini, ia masih gah dengan nilai sejarahnya tersendiri.
Bertapak di Jalan Tuanku Abdul Rahman (yang dahulunya dikenali Batu Road), masjid ikonik yang mengagumkan ini berperanan penting menjadi pusat ibadah di tengah-tengah pusat perniagaan, tempat tumpuan ramai terutama musim perayaan.
Masjid yang dahulunya hanya berkeluasan kecil pada awal pembinaannya, kini setelah beberapa pengubahsuaian mempunyai tiga tingkat ruang solat dan boleh memuatkan seramai 3,500 jemaah pada satu masa, terutama ketika solat Jumaat.
Khutbah Jumaat pula dibacakan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Tamil, Inggeris dan Melayu.

Majlis ilmu juga tidak kurang hebatnya, seperti masjid lain, tempat ibadah ini padat dengan aktiviti dan pengisian keagamaan dari Subuh sehingga selesai solat Isyak untuk dimanfaat masyarakat setempat.
Menurut Imam Masjid India, Ustaz Seyed Ibrahim AlBukhary, seramai enam individu telah memeluk Islam di masjid ini sejak beliau menjadi imam pada 2021.

“Keindahan Islam itu dikongsi bersama pengunjung dalam dan luar negara yang hadir.”
“Kami juga banyak menganjurkan banyak majlis ilmu dan untuk pengunjung luar yang datang, kami akan menerangkan tentang agama Islam, cara solat serta menjawab pertanyaan mereka tentang Islam, “ kata Ustaz Seyed ketika ditemui Lensa Wilayahku di masjid berkenaan.
Masjid yang pada asalnya hanya dibina dengan papan dan kayu kini berdiri kukuh dengan struktur binaan batu serta granit.

Keunikannya adalah pada menara yang diinspirasikan melalui seni bina budaya India.
Hiasan dalamannya ringkas namun tetap menawan hati yang melihat malah sangat menenangkan. Ruang solat lelaki di bawah dan wanita pula berada di ruang atas.

Bila sebut Masjid India, pasti mereka yang berada di Kuala Lumpur malah penduduk luar juga mengetahui lokasinya kerana ia terkenal sebagai syurga membeli-belah sejak dulu.
Masjid ini turut mengadakan jelajah setiap hari kecuali Khamis dan Sabtu, untuk orang awam dan pengunjung luar menyelami keindahan Islam serta melihat sendiri seni bina monumen warisan yang memaparkan budaya luar iaitu India. – WILAYAHKU
Koleksi gambar lain: