Artikel

Zubir Ali dan tragedi di Palestin

Gambar Hiasan
- Diterbit 19 Oktober 2023 5:30 PM MYT

SETIAP kali meletus konflik pertumpahan darah dan kehilangan nyawa di Palestin, saya segera teringat pada Allahyarham Zubir Ali. Termasuklah serangan tentera zionis Israel terbaru yang mengorbankan ribuan nyawa orang awam Palestin tidak berdosa di Semenanjung Gaza.

Peperangan antara pejuang Hamas dengan tentera zionis Israel yang dianggap oleh banyak penganalisis geopolitik sebagai ‘9/11 kedua’ kerana dahsyatnya tentera zionis peminum darah yang mabuk kuasa. Ini siri pembersihan etnik yang entah kali ke berapa dan kita melihat dari jauh akan penderitaan umat Islam di sana.

Lagu ‘Balada Seorang Gadis Kecil’ ciptaan dan nyanyian Zubir Ali telah dipilih menjuarai Pesta Lagu Malaysia tahun 1983. Zubir dianugerah pencipta lagu terbaik. Bagaimanapun yang menjadikan lagu itu lebih diingati dan malar segar bukanlah kerana anugerah. Sebaliknya keberadaan karya seni itu membawa reaksi seniman terhadap satu tragedi kemanusiaan.

Seniman adalah pemikir yang ada kepedulian tinggi terhadap manusia, kehidupan dan kemanusiaan. Seniman berada dalam keadaan sedar dan amat peka serta memberikan reaksi melalui karya seninya. Maka setiap karya yang dihasilkan adalah reaksi terhadap sesuatu yang singgah dan menggelorakan jiwanya.

Walaupun banyak individu lain yang bergiat dalam bidang seni, tetapi tidak semuanya pantas dan peka terhadap sesuatu yang berlaku. Hal inilah yang membezakan seniman seperti Zubir Ali dengan sesetengah pencipta lagu dan penyanyi lainnya.
Zubir melakukan tanggungjawab atas kedudukannya sebagai seniman. Beliau menyuarakan dalam karya yang kesannya meluncur jauh di jiwa khalayak. Sudah terbukti karya seni lebih membekas berbanding pengucapan yang retorik dan didaktik di pentas-pentas awam. Ia dirasakan lebih jernih dan jujur serta tidak lusuh ditelan zaman.

‘Balada Seorang Gadis Kecil’ adalah karya yang membawa kita menghayati dan mengambil iktibar tentang sekelompok manusia yang bebal dan angkuh. Mereka itu tentera zionis Israel yang lebih buruk daripada haiwan kerana melakukan dua kerosakan sekali gus – pertama merompak tanah air Palestin dan kedua membunuh tuan tanahnya.

Karya itu terilham daripada tragedi pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Shatila dekat Beirut, Lebanon tahun 1982. Kejadian ini amat dahsyat dan tidak terjangkau oleh fikiran manusia yang bertamadun. Ini bukan perang, tetapi pembunuhan beramai-ramai oleh tentera zionis Israel.

Dalam laporan media, saksi memberitahu, mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang dibunuh secara kejam – mata dicungkil, disembelih, perut terburai dan kepala pecah akibat dibelasah dengan kapak. Bagaimanapun pelakunya tentera zionis Israel menafikan melakukan kekejaman itu.

Tragedi yang bermula pukul 6 petang 16 September hingga 8 pagi 18 September itu telah menyapu bersih, hampir tidak ada yang hidup kecuali seorang gadis kecil bernama Munir. Dia terselamat walaupun tubuhnya penuh luka parah akibat peluru. Sangat menakjubkan kuasa Yang Maha Esa.

Zubir mengabadikan Munir dalam puisinya, “Munir ditembak penuh luka / tapi ajalnya belum tiba / kerana Tuhan mengasihi dia / peristiwa hitam 17 September /telah menjadi bukti / sempurnalah kekejaman / suatu bangsa yang sombong dan hina.”
Di atas kertas, pembunuhan itu dikatakan angkara puak pelampau Kristian Lebanon. Tetapi sebenarnya arahan Menteri Pertahanan Israel, Ariel Sharon supaya ‘membersihkan’ kem yang penuh sesak dengan wanita dan kanak-kanak Islam Palestin dan Lebanon.

‘Balada Seorang Gadis Kecil’ adalah sumbangan seniman menyingkap krisis kemanusiaan yang tenat di satu penjuru dunia. Lagu ini juga sebuah dokumentasi sosial mengenai tragedi yang sukar dilupa. Karya muzik yang bertanggungjawab tidak memberikan pil khayal dan mencipta ruang eskapisme. Ia memberikan kepahitan untuk menelan realiti.

Zubir Ali ternyata bukan pencipta lagu yang leka dan terpesona dengan kemilau. Beliau seorang seniman yang berkarya untuk membina manusia, menunjukkan lorong selain mengajak khalayak berfikir dan merasa sesuatu yang bergejolak di jiwanya. Sudah tentulah cara berfikirnya tidak sama dengan individu yang sekadar mencari makan dengan seni.

Saya seperti juga orang lain yang tidak ada pengetahuan mengenai muzik, tetapi dapat menikmati lagu ini dengan semahunya. Hal ini membuktikan karya seni adalah bahasa sejagat yang merentas kelas, kaum dan budaya manusia.
Saya tidak tahu menggunakan istilah muzik untuk menggambarkan ketepatan lagu itu dengan jiwa. Cuma yang boleh digambarkan adalah lagunya sangat menusuk, bagai tidak mahu melepaskan apabila tiba pada baris yang terakhir. Kesannya berlapis-lapis – sedap di telinga dan menusuk di jiwa.

Tragedi Sabra dan Shatila itu sangat mencederakan jiwa manusia yang tinggi adab serta nilai kemanusiaan. Zubir Ali seorang seniman yang tangan dan jiwanya menggenggam seni membentuk pemikiran massa. Beliau melakukan dalam ruang dan bidang kearifannya – menulis puisi, mencipta melodi kemudian menyanyikan sendiri.

Pada sekitar tahun 1990, Zubir pernah memberitahu saya, lagu itu terilham selepas membaca berita tragedi pembunuhan berkenaan dalam Utusan Malaysia 18 September 1982. Berita itu sangat mengganggu sarapan paginya. Beliau menjadi sangat marah tentang tragedi di satu sudut benua itu.

Beliau membaca surat khabar itu berulang kali sambil menggigil. Kopi yang masih berbaki di atas meja hampir tidak terdaya dihabiskan. Walaupun kejadian itu dipisahkan jarak beribu batu, tetapi rasa kemanusiaan tetap dekat dan satu.
Saya mendengarnya dengan penuh pesona, ikut berkongsi keadaannya yang terganggu oleh kejadian seburuk itu. Matanya yang jernih itu tergenang dan Munir anak malang itu sangat meruntun perasaannya. Saya terhenti mencatat, malah tidak perlu mencatat kerana kisahnya sudah sampai ke jiwa.

“Ariel Sharon fikir dia boleh menjadi tuhan untuk mematikan semua manusia. Allah menghantar isyarat supaya jangan angkuh, Munir tidak mati walaupun cederanya amat parah. Saya mendapat kekuatan daripada Munir untuk mencipta puisi dan lagu,” tegas Zubir.

Ternyata ‘Balada Seorang Gadis Kecil’ bukanlah mesej daripada Zubir, sebaliknya sebuah wacana kemanusiaan mengenai baik dan jahat serta yang angkuh dan mulia pekerti setiap manusia. Kini Zubir Ali sudah tiada. Beliau kembali ke pangkuan Ilahi pada 6 Mac 2009 dengan meninggalkan bergugus karya yang menyalakan kesejahteraan dan kemanusiaan.

Ingatan kepadanya muncul lagi. Setiap kali rakyat Palestin disembelih tentera zionis Israel, saya malah orang lain juga pasti teringat tentang rakaman tragedi yang berulang dan serupa dengan ‘Balada Seorang Gadis Kecil.’ – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas