Selebriti

Siti Nurhaliza terus bantu Palestin

Datuk Seri Siti Nurhaliza
- Diterbit 13 Oktober 2023 1:45 PM MYT

EMOSI sebilangan besar penduduk dunia kembali terjentik lantaran peristiwa berdarah di Gaza dan Tebing Barat, Palestin.

Untuk itu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meneruskan dana yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu menerusi Tabung Bantuan Khas Palestin.

Usaha mengumpul dana ini dibuat menerusi Yayasan Nurjiwa yang diasaskan Siti bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

“Israel tentu sekali akan memperlihatkan kerakusannya termasuk menindas dan menyeksa masyarakat Palestin yang sudah berdekad lamanya hidup dalam kesukaran.

“Kemusnahan berterusan ke atas Palestin pula bukan hal yang hanya boleh dipandang sahaja tanpa berbuat apa-apa.

“Justeru, bagi tujuan membantu dan berkongsi rasa kesulitan yang mendalam serta sokongan tidak berbelah bahagi kepada masyarakat Palestin, Nurjiwa Foundation dengan kerjasama Kita Fund meneruskan Kempen Tabung Bantuan Khas Palestin yang telah dilancarkan sejak tahun 2021.

“Yayasan Nurjiwa yang diasaskan oleh saya bersama suami juga mempunyai sebuah sekolah bernama Afwa Al Afiyah di Gaza.

“Wakil kami sedang memantau secara dekat situasi terkini di sana dan mendoakan agar anak-anak ini selamat serta dalam lindungan Allah SWT,” katanya.

Siti berharap usaha bersama ini boleh membantu rakyat Palestin yang sangat memerlukan bantuan memandangkan mereka sedang dengan peperangan.

“Apa jua usaha yang saya, suami, anda dan kita semua lakukan, saya yakin niat dan fokus adalah sama dan tidak ada lain kerana Allah SWT. Dia Maha Mengetahui.

“Apa yang kita usahakan adalah dari niat dan keikhlasan dan tiada apa-apa kepentingan peribadi,” tambahnya.

Untuk membuat sumbangan, layari https://kitafund.com/9909-tabung-bantuan-khas-palestin dan klik butang ‘Sumbang’ (boleh klik linktree di bio Instagram @ctdk).

Sumbangan untuk bantuan khas Palestin ini turut boleh disalurkan ke akaun Yayasan Nurjiwa: Maybank 514486106455. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas