POLIS Labuan mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkaitan salah laku proses berkempen yang dilakukan oleh parti yang bertanding sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila, sepanjang tempoh berkempen PRU15 pihaknya tidak ada menerima sebarang laporan berkaitan perbuatan khianat oleh mana-mana pihak.
“Berdasarkan pemantauan pasukan cantas yang ditugaskan untuk memantau kesemua ceramah yang berlangsung tidak ada dikesan mana-mana parti yang melontarkan isu-isu sensitif, ini satu yang baik untuk landskap politik di pulau ini.
“Secara keseluruhannya, kesemua parti yang bertanding menunjukkan pematuhan dan prestasi baik dalam tempoh berkempen dengan mematuhi peraturan dan undang-undang Akta Pilihan Raya,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Terdahulu, pada PRU15 seramai 44,484 pemilih telah layak mengundi berbanding pada PRU-14 hanya 28,356 pemilih. -WILAYAHKU