KIRA-KIRA 19,000 orang yang merupakan golongan B40 di Pulau Bebas Cukai ini bakal menerima manfaat melalui penganjuran Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah 2022.
Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias berkata pelaksanaan program itu memfokuskan kepada jualan barangan sumber protein utama bersubsidi iaitu ayam dan telur ayam.
Katanya, inisiatif itu membolehkan rakyat dapat berbelanja pada harga yang lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan kerajaan.
“Seramai 19,000 penduduk kumpulan B40 di Labuan bakal menerima manfaat ini selama tempoh enam bulan dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM399,000.
“Ini adalah merupakan usaha dan inisiatif pihak kerajaan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bagi memastikan golongan B40 terus terbela dengan kenaikan harga barangan yang membebankan terutamanya bagi masyarakat di Labuan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah 2022, Pasar Sentral Labuan, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan, Junaidah Arbain.
Jelas Bashir, sebanyak 18 buah kedai rakan strategik dan peniaga ayam di Pasar Sentral akan terlibat dalam menjayakan program itu.
“Penerima akan mendapat subsidi berjumlah RM3.00 bagi pembelian ayam segar dan RM0.50 sen apabila membeli sekurang-kurangnya 10 biji telur ayam,” katanya lagi. – WILAYAHKU