Berita

Golongan OKU turut sertai program Berjalan Teguh Bersama

SERAMAI 100 orang akan menyertai program bersempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang
- Diterbit 25 Julai 2022 7:45 AM MYT

KIRA-KIRA 100 Orang Kurang Upaya (OKU) akan bersama-sama ribuan Keluarga Malaysia berjalan sejauh 2.7 kilometer di Putrajaya pada Sabtu ini (30 Julai) dalam program Berjalan Teguh Bersama.

Presiden Persatuan OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata antara OKU yang akan menyertai program bersempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang itu adalah dari kategori pendengaran, pertuturan, masalah pembelajaran dan buta.

“Kami hadir memberikan sokongan kepada program ini, dalam masa yang sama orang mesti melihat kami sebagai sebahagian daripada Keluarga Malaysia,” kata Ras Adiba yang akan turut menyertai program berkenaan ketika dihubungi hari ini.

Program Berjalan Teguh Bersama yang dianggarkan disertai 10,000 peserta dijadualkan bermula pada pukul 8 pagi dari Dataran Putra, dengan melalui beberapa ‘checkpoint’ iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan, Monumen Alaf Baru, Jabatan Pendaftaran Negara sebelum berakhir di Istana Kehakiman.

Program berkonsepkan aktiviti berjalan beramai-ramai secara santai bersama keluarga itu membawa mesej mengenai semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia sebagai Keluarga Malaysia.

Ras Adiba berkata meskipun tiada pengangkutan khas disediakan untuk membawa para peserta OKU, mereka tetap komited untuk menyertai program berjalan tersebut.

“Sahabat-sahabat saya selalunya mereka akan datang sendiri kerana seronok dengan aktiviti yang dibuka kepada komuniti kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Malaysia Datuk E. Sivabalan berkata golongan OKU amat digalakkan untuk hadir bersama-sama memeriahkan program tersebut. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas