KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan menambah jarak tidal flow di beberapa lokasi bagi menanangani masalah kesesakan trafik.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata langkah itu diambil ekoran keseskan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Jalan Istana, Jalan Cheras dan Bulatan Pahang.
“Tidal flow di Jalan Cheras akan dipanjangkan daripada empat kepada lapan kilometer manakala laluan akan dibuka di lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur juga dicadangkan kepada Task Force berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Task Force Kesesakan Lalu Lintas Kuala Lumpur berkata, pihaknya juga akan mewujudkan tidal flow yang baru dan kajian mendapati ia boleh mengurangkan kesesakan di kawasan terbabit.
Menurut Jalaluddin, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pemegang konsesi tol juga sedang mengkaji untuk menambahbaik sistem pungutan mereka, tidak lagi tertumpu kepada laluan tertentu.
“Ia tidak tertumpu kepada kaedah tertentu saja, tetapi mereka boleh mempelbagaikan dan memudahkan supaya laluan trafik yang melaluinya dapat dipercepatkan dari apa yang kita ada sekarang.
“Mesyuarat juga membincangkan untuk menambah laluan di MRR2 daripada dua kepada tiga serta menaiktaraf semua laluan yang rosak, berlubang. Tindakan serta merta akan diambil DBKL dan agensi berkaitan. Saya sendiri akan turun bersama Datuk Bandar untuk lihat perkara ini,” katanya.
Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner (DCP) Datuk Yahaya Othman. –WILAYAHKU