Atlet Wilayah

NSL 2022: Daniea yakin KL Wildcats pertahan juara

AKSI Daniea dalam saingan NSL
- Diterbit 19 Jun 2022 12:00 AM MYT

ATLET bola jaring Wilayah Persekutuan, Siti Nur Daniea
Alisya Iqma Syamsul Rakesh, 20, yakin KL Wildcats mampu pertahan juara pada saingan Liga Super Bola Jaring (NSL) 2022 yang sedang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara dari 3 hingga 26 Jun.

Katanya kepada Wilayahku, dalam tempoh dua minggu perlawanan, mereka masih mampu mengekalkan kedudukan di tempat ketiga teratas dan berharap mampu meraih kejuaraan seperti yang diharapkan.

Alhamdulillah setakat ini semua dalam keadaan baik. Kami juga berpuas hati dengan rentak permainan dan bangga boleh sampai ke tahap ini. Tekanan itu perkara biasa namun kami dapat atasi dengan komunikasi antara satu sama lain.

“Lagi pula kami mempunyai jurulatih yang berpengalaman, Norizan Rejab yang banyak membantu pasukan dengan cara dia tersendiri selain kami juga sudah bersedia dengan kejohanan sejak pandemik tempoh hari lagi.

“Kami suka dengan cara jurulatih kerana dia akan memastikan pemain bermain di semua posisi ketika berlatih. Jadi, dia akan nampak kelemahan serta kelebihan setiap pemain,” ujarnya yang berada di posisi penjaring.

Ditanya tentang saingan daripada pihak lawan, Daniea mengakui Johor Jewels antara lawan yang sengit memandangkan kekuatan pasukan tersebut yang mempunyai pemain import tempatan dan antarabangsa.

“Mereka ada bekas kapten Selangor Angels, An Najwa Azizan dan bekas kapten KL Wildcats, Nur Syafazliana Mohd Ali, selain pemain Sirima Samnaree dari Thailand dan Gayani Dissanayake dari Sri Lanka,” ujarnya lagi.

Terdahulu, lapan pasukan iaitu KL Wildcats, Johor Jewels, Selangor Angels, Perak Phoenix, Melaka Mystic, Negeri Sembilan Venom, Kedah Sunshine dan Pahang Tulip berentap memburu kejuaraan.

Menyentuh tentang persiapan SUKMA September akan datang, bekas atlet Selangor ini sedang menunggu keputusan pelepasan daripada negeri tersebut untuk bersama dengan Kuala Lumpur.

“Persiapan semua berjalan lancar dan saya sendiri sudah bersedia untuk mewakili Kuala Lumpur. Saya yakin kami akan menjadi juara untuk kali ini lagipun ini merupakan tahun terakhir saya layak untuk bermain SUKMA,” ujar anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas