RATA-RATA penerima sumbangan Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan 2022 menzahirkan ucapan terima kasih dan syukur di atas bantuan yang dihulurkan baru-baru ini.

Salah seorang penerimanya, Muhammad Qasim Sangkala, 42, berkata pemberian sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung olehnya selama ini.
“Saya bersyukur serta berterima kasih di atas bantuan yang diberikan secara tidak langsung yang membolehkan kami sekeluarga menyambut Ramadan seperti orang lain. Ini adalah rezeki yang besar bagi saya.
“Selain barangan asas, bantuan kewangan juga turut diberikan. Secara tidak langsung dapat membantu dari sudut perbelanjaan serta persekolahan anak-anak,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.
Mengulas tentang bantuan tersebut, dia berkata sumbangan yang diberikan sudah memadai memandangkan ramai yang susah ketika ini.
“Bantuan kewangan merupakan rezeki kerana banyak hutang yang boleh dilangsaikan antaranya bil yang banyak tertunggak selain wang tersebut dapat digunakan buat perbelanjaan seharian,” ujarnya yang bekerja sebagai pemandu bas.

Sementara itu, menurut Hashim Sanusi, 47, pemberian seperti ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu golongan memerlukan kerana mereka tiada tempat untuk meminta bantuan.
“Terima kasih kepada pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan agensi terlibat yang prihatin terhadap warganya yang kurang berkemampuan.
“Memandangkan bulan depan kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, bantuan yang diberikan dapat membantu kami untuk membuat persiapan sepatutnya,” ujarnya menahan sebak.
Terdahulu, Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan 2022 diadakan di Kompleks Perbadanan Putrajaya yang mana sumbangan disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. -WILAYAHKU