Berita

Ismail Sabri kunjungi Bazar Ramadan Putrajaya

ISMAIL Sabri (tengah) bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (kiri) meluangkan masa meninjau suasana di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya hari ini.
- Diterbit 4 April 2022 12:50 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengunjungi bazar Ramadan di Presint 3, Putrajaya hari ini.

Beliau mengunjungi bazar berkenaan pada pukul 5.00 petang dan meninjau gerai peniaga selama kira-kira 1 jam.

Menerusi lawatan itu, Ismail Sabri turut berkesempatan beramah mesra bersama pengunjung dan peniaga di tapak bazar selain meninjau tahap kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengunjung serta peniaga.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bera itu juga berkesempatan membeli lauk serta kuih-muih sebagai juadah berbuka puasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata meskipun penjarakan sosial 1 meter tidak lagi diwajibkan, pemakaian pelitup muka masih berkuat kuasa dan diwajibkan kepada orang awam.

“Kita perlu melindungi diri, sekiranya nampak tempat tu sesak, kita tidak perlu pergi. Pengawalan kendiri perlu dilakukan untuk mengurangkan jangkitan.

“Kalau bawa anak kecil, cuba elakkan tempat yang bersesak untuk menjaga keselamatan mereka. Kesihatan kita dan keluarga adalah tanggungjawab kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Bazar Ramadan Putrajaya di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Terdapat 160 gerai di bazar Ramadan Presint 3 di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya (PPj) yang menjual pelbagai juadah makanan dan minuman bermula dari pukul 3 petang sehingga 8 malam bertempat di lot berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas