“KAMI pernah diketawakan, dihina malah ada beranggapan kami akan bercerai. Sebab pada awal ambil keputusan untuk kahwin, orang ramai cakap kami akan hidup susah,” luah pelakon dan usahawan Wawa Zainal yang juga isteri kepada Aeril Zafrel.
Apa yang membanggakan, pencapaian pasangan bahagia ini menjadi inspirasi ramai apabila Aeril Zafrel menghadiahkan isterinya wisma bernilai RM3.2 juta.
Bangunan tiga tingkat yang menelan kos pengubahsuaian RM2 juta itu adalah pusat bagi rangkaian perniagaan mereka Wawa Cosmetic selain menempatkan ruang pejabat dan gudang penyimpanan stok.

Wawa, 31, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berkata, memiliki wisma sendiri adalah impian mereka sejak 2016 lagi.
“Sebenarnya kami sudah memasang impian ini dari dulu. Tidak menjangka kami akhirnya dapat buat, walaupun sebenarnya banyak dugaan dan rintangan dari awal mulakan perniagaan.
“Alhamdulillah, akhirnya kami dapat buktikan kami juga boleh berjaya. Kata-kata itu membuatkan kami kuat hingga sekarang,” katanya.

Terdahulu, Wawa dan Aeril ditemui pada Perasmian Wawa Cosmetic HQ dan Pelancaran Wawa Fantacy Dream Night, di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Wawa, apabila mengenang dugaan lalu, dia seolah-olah Masih tidak percaya sudah memiliki wisma perniagaan sendiri.
“Saya sebenarnya sangat bangga dengan kejayaan hari ini. Macam tak percaya pun ada kami sudah ada wisma.
“Proses pengubahsuaian menelan kos RM2 juta. Ia dimulakan sejak Jun tahun lalu lagi. Ambil masa lama juga untuk siap sepenuhnya. Ia direka oleh Aki Designer berkonsepkan ‘French Industrial’. Saya yang nak konsep ini.
“Memang gembira apabila sudah ada wisma. Sudah boleh jemput r’eseller’ untuk datang mesyuarat di pejabat. Sebelum ini tak ada tempat. Sekarang apabila sudah ada tempat cantik, boleh bergambar dan lain-lain,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU