TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias akan mencadangkan penubuhan jawatan kuasa khas bagi mengenal pasti masalah utama banjir di Kuala Lumpur dalam mesyuarat pasca kabinet yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Katanya, jawatankuasa khas ini berperanan untuk memikirkan dan mencari kaedah penyelesaian yang sesuai melalui tempoh jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Meskipun banjir kilat kerap berlaku, namun ada beberapa perkara yang perlu diambil kira dalam usaha untuk mengurangkan kerugian kepada kerajaan dan masyarakat dan semua pihak yang terlibat apabila ia berlaku.
“Sebagai contoh, adakah sistem amaran awal kita berfungsi apabila berlaku kenaikan air yang melepasi paras bahaya. Ia perlu dilihat dan disemak semula.
“Saya perlu berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pengurusan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bagaimana untuk kita melihat sistem amaran banjir ini dapat dinaik taraf untuk mengurangkan impak kepada warga kota,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan tanah runtuh di Seksyen 6, Wangsa Maju di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Jalaluddin berkata, apabila sistem amaran awal ini dinaik taraf, masyarakat atau rakyat akan mendapat amaran awal mengenai kawasan atau berada di hot spot yang bakal berlaku banjir boleh megambil tindakan awal termasuklah mengosongkan premis atau mengeluarkan harta benda.
“Walaupun sistem ini tidak boleh menjamin daripada tidak berlaku bencana banjir ini, dalam masa sama ia turut memerlukan satu pendekatan yang lain termasuklah projek tebatan banjir atau pembangunan sistem aliran air yang boleh menampung kapasiti air melebihi daripada biasa dan ini perlu dilakukan secara berfasa,” katanya.
Menurut Jalaluddin, beliau akan membawa cadangan tersebut untuk dibincangkan bersama-sama dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Jalaluddin berkata, pihak DBKL dengan kerjasama pemaju dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) telah diminta untuk membuat kerja-kerja pembersihan awal supaya aliran air di kawasan berkenaan lancar sebelum mengambil tindakan untuk mengawal runtuhan daripada berlaku.
“Saya telah minta DBKL untuk memanggil mesyuarat bersama IKRAM dan pemaju bagi kita fikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini untuk jangka panjang kerana saya lihat aliran air di sini memerlukan satu sistem perparitan yang lebih tersusun untuk mengelakkan kejadian ini berulang,” katanya.
Terdahulu, hujan lebat yang berterusan selama dua jam petang semalam telah mengakibatkan runtuhan tanah di Jalan 1/27 D, Seksyen 6, Wangsa Maju yang melibatkan lima buah rumah. – WILAYAHKU