“SAYA adalah jambatan untuk mereka”.
Itulah ayat yang dipegang oleh pengajar berpengalaman 26 tahun dalam bidang urutan terapi kepada golongan
berkeperluan khas sejak tahun 1994 lalu hingga berjaya melahirkan ramai kanak-kanak yang dapat menunjukkan perkembangan positif terhadap pembesarannya.
Memulakan kerjaya sebagai jurulatih psikologi bahagian terapi di Sekolah Cerebral Palsy (CP), Johor selama lapan tahun, Suzana Alam, berkata menjadi seorang pendidik kepada golongan khas ini tidak semudah yang disangka, tetapi nilai kasih sayang dan minat terhadap kerjaya ini membuatkan guru dari Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinar@9, Putrajaya ini terus kekal berkhidmat.
“Saya adalah pengajar bahagian terapi, apabila saya lakukan sesi, ia bergantung kepada situasi dan jenis kategori penyakit yang mereka alami tanpa menggunakan sebarang alatan mesin sebaliknya hanya teknik psikologi.
“Selama lebih beberapa tahun menjadi pengajar, alhamdulillah saya terima banyak perkembangan positif antaranya ada yang sudah pandai berjalan, ada yang dahulu tidak boleh bangun tetapi bila sudah lakukan terapi, sudah boleh duduk seperti biasa.
“Selain itu, ada seorang pelajar syndrome down, dahulu dia hanya terbaring sahaja dan tidak mampu melakukan apa- apa pergerakan tetapi bila kita sudah lakukan pelbagai sesi terapi serta aktiviti, kini dia sudah boleh berlari, melompat dan ke sekolah seperti biasa,” katanya ketika ditemui Wilayahku di PPDK Sinar@9, Putrajaya, pada Selasa.
Jelas Suhana, melihat perkembangan dan perubahan positif yang berlaku kepada anak didiknya sudah cukup memberi kegembiraan buat dirinya.
“Ada ibu bapa datang berkongsi perubahan anak-anak mereka kepada saya dan mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang diberikan sekali gus membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus membantu,” kata bekas
jurulatih olahraga Majlis Paralimpik Malaysia, Negeri Johor ini.
Jelasnya, seseorang yang ingin menjadi pengajar perlu menerapkan nilai kasih sayang, minat, rajin dan paling utama adalah sabar kerana tanpa perkara tersebut mereka mungkin boleh melakukan perkara diluar kawalan dan sukar mengawal pergerakan dan tingkah laku anak-anak istimewa ini.

Sementara itu, petugas di PPDK Sinar@9, Siti Munirah Mohd Nasir, 28, berkongsi tips yang boleh dijadikan sebagai panduan sekiranya ada individu yang mahu menceburi bidang ini.
“Pertama, kita harus memberi satu arahan yang ringkas sahaja tetapi berulang. Jika anda meminta mereka duduk, kita perlu buat bersama-sama mereka dan mengulangi perkara yang sama sehingga mereka faham.
“Kedua adalah bantuan. Mereka sangat memerlukan bantuan daripada orang sekeliling untuk memahami dan melakukan sesuatu. Pada peringkat awal, kalau kita nak suruh mereka duduk, kita perlu gunakan pergerakan visual tetapi jika mereka sudah melakukannya sendiri maknanya dia sudah faham,” jelasnya yang sudah empat tahun berkhidmat di PPDK ini.
Tambahnya, saguhati juga perlu diberikan kepada anak anak istimewa ini selepas aktiviti selesai dilakukan kerana ia boleh membantu memotivasikan mereka untuk terus bersemangat melakukan aktiviti seterusnya. – WILAYAHKU