PERTENGAHAN tahun lalu, Asheed Def Gab C, tampil dengan single berentak perlahan berjudul Milik Kita terbitan Rock Stage Entertainment (RSE).
Lagu ciptaan Rief SW dan lirik Talib RSE ini didedikasikan kepada semua petugas barisan hadapan yang mempertahankan nyawa demi negara.
Terbaru, Asheed, 49, kini tampil dengan single berjudul Baling yang kembali menonjolkan identitinya ketika bersama Def Gab C.
“Alhamdulillah…sekali lagi Rief SW bergandingan dengan Talib RSF sebagai pencipta dan penulis lirik lagu ini.
“Ia adalah kesinambungan kolaborasi kedua saya dengan RSE selepas Milik Kita yang mendapat sambutan positif daripada peminat.
“Saya gembira dapat bekerja dengan Rief SW dan Talib serta barisan pemuzik profesional yang terbabit dalam lagu ini iaitu Mus Satira (gitar), Yan Lefthanded (bass), Bakri Gerhana Ska (drum) dan Aman Keys Farasu (keyboard dan perkusi),” katanya.

Asheed atau nama sebenarnya Mohd Ashid Ahmad berkata, Baling sebenarnya membawa makna kepadanya sebagai tempat kelahirannya di Kedah.
“Bagaimanapun dalam konteks lagu ini, Baling diilhamkan dari senario industri muzik tanahair secara sinikal.
“Ia berkaitan kritik sosial terhadap sikap manusia. Macam kata pepatah Melayu, satu jari kita menuding ke arah orang, empat, lima orang akan menuding ke arah kita semula.
“Inilah sikap orang. Dah terkena baru nak terngadah dan berubah,” katanya.
Menurutnya, selepas mendengar demo lagu ini, dia berminat membawa lagu Baling kerana iramanya seiras lagu-lagu rock ‘Santana’.
“Genre ini dah jarang dibawa oleh mana-mana artis pada dekad ini. Respon peminat selepas seminggu dimuatkan di YouTube RSE sangat baik.
“Mereka kata lagu ini agak berlainan dan ada karakter sendiri. Orang dengar sekali pun dah tahu lagu nyanyian saya. Sebenarnya ia tak meniru Santana sangat.
“Kami bukan nak suruh orang bandingkan dengan Santana. Bila saya dapat lagu ini, dalam kepala saya dari awal hingga habis keseluruhan dah tahu macamana nak buat.
“Jadinya muzik Santana hanya sebagai penambahan untuk sedapkan lagu ini. Peminat Def Gab C menantikan lagu ini dan minta saya kembali bersatu dengan anggota lain,” katanya.
Rakaman lagu ini mengambil masa selama empat bulan serta dibuat di tiga studio berlainan.
Proses adunan (mixing) akhir dibuat di Bakri Music Workshop (BMW) Studio di Sri Rampai Kuala Lumpur.
“Manakala muzik video juga dibuat di lokasi berlainan kerana keterbatasan pergerakan semasa era pandemik ini.
“Studio-studio yang terbabit dalam penghasilan lagu dari segi rakaman muzik dan muzik video ialah Stage War Studio (Subang), Heaven Studio (Pandan Indah) dan BMW Studio (Sri Rampai).
“Saya dan RSE berminat menyokong karya-karya baharu sambil mengetengahkan bakat-bakat komposer baru disamping pembabitan orang lama dalam industri,” katanya.
Selain YouTube RSE, lagu Baling kini berada di semua digital platform seperti Joox, Spotify, Itunes, Deezer, KKbox dan juga Apple Music. – WILAYAHKU