Utama

MMU sasar 3,000 pengunjung sertai pameran kerjaya bermula 7 Februari

MMU akan menganjurkan Pameran Kerjaya MMU 2022 yang bakal berlangsung pada 7 hingga 11 Februari 2022 bertempat di Studio Fakulti Seni Sinematik.
- Diterbit 3 Februari 2022 5:40 AM MYT

UNIVERSITI Multimedia (MMU) menyasarkan 3,000 pengunjung menyertai Pameran Kerjaya MMU 2022 atau lebih dikenali sebagai MMU Virtual Career Fair 2022 yang bakal berlangsung pada 7 hingga 11 Februari 2022 bertempat di Studio Fakulti Seni Sinematik bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Menurut Pengarah MMU Career Fair 2022, Bryan Yeap Yee Kuong, program yang akan disiarkan secara langsung serentak di laman web Graduan Connect ini memainkan peranan yang sangat besar sebagai platform pembangunan masa hadapan yang lebih cerah serta perkongsian peluang kerjaya khusus kepada mahasiswa MMU dan juga warga umum.

“Pameran kerjaya ini menyediakan ruang kepada syarikat yang mengambil bahagian dalam acara ini untuk mengadakan sesi pengambilan pekerja dalam kalangan mahasiswa cemerlang yang dapat membantu meningkatkan tenaga kerja syarikat.

“Dengan penglibatan lebih 30 syarikat dan rakan kongsi dalam acara berskala-besar ini, kami menjangkakan 3,000 pelawat akan hadir dalam kalangan yang mahir dalam jurusan pengurusan, perniagaan, undang-undang, kejuruteraan, teknologi maklumat, komunikasi, kewangan, multimedia kreatif dan sebagainya.

“Di samping itu, terdapat syarikat-syarikat besar yang menyertai acara ini antaranya termasuklah CIMB Bank Berhad, Sony EMCS, ACCA Malaysia, Lead Leadership Academy, Cortex Robotic Sdn Bhd dan banyak lagi,” katanya.

Tambahnya, sebagai rakan kongsi kepada Graduan, MMU Career Fair 2022 akan memberi peluang terutamanya kepada para graduan untuk memasuki alam pekerjaan pilihan mereka dengan lancar.

“Antara aktiviti yang bakal dianjurkan sepanjang acara termasuklah sesi temu bual kerjaya, pameran syarikat secara maya, sesi temu duga dan sesi perkongsian oleh penaja Platinum dan Emas serta syarikat rakan kongsi dan individu terkemuka.

“Menerusi acara ini, mahasiswa serta syarikat boleh berkembang maju melalui penglibatan secara terus sambil menambah rangkaian dan pada masa yang sama mendedahkan mahasiswa mengenai permintaan industri yang sentiasa berubah, serta beberapa pilihan kerjaya untuk masa depan mereka,” jelasnya.

Bryan dan pihaknya berharap dengan penganjuran MMU Career Fair 2022 ini, para mahasiswa, graduan serta mereka yang sedang mencari kerja boleh memperoleh peluang untuk mendapatkan pekerjaan serta pada masa sama dapat mengatasi cabaran pengangguran.

“Program ini juga bakal mengadakan sesi cabutan bertuah kepada pengunjung yang ingin memenangi cenderamata eksklusif,” tambahnya.

Orang ramai yang ingin menyertai atau mengetahui lebih lanjut mengenai MMU Career Fair 2022, boleh layari laman Facebook MMU Career Fair Cyberjaya Campus, Instagram @mmucareerfair_cyberjaya dan LinkedIn MMU Career Fair Cyberjaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas