MAJLIS Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Kuala Lumpur Sub Zon 4, Parlimen Segambut menggesa rancangan pembangunan enam buah kios Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) diteruskan bagi membuka peluang kepada anak muda menjalankan perniagaan di kawasan tumpuan orang ramai.
Pengerusinya, Abdullah Imbi berkata, projek pembangunan kios itu boleh mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan selain mampu membantu golongan sasar keluar dari masalah kemiskinan disebabkan peluang pekerjaan yang terhad.

“Kalau kita lihat keadaan hari ini, ramai yang terkesan dan jumlah penjaja di kawasan bandar semakin meningkat, oleh itu kerajaan perlu meneruskan sahaja projek pembangunan kios itu agar ekonomi dapat digerakkan dan membantu golongan muda berniaga,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.
Jelas Abdullah, bantahan yang dikemukakan daripada persatuan penduduk dan peniaga kedai yang mendakwa kios berkenaan akan menyebakan kesesakan lebih teruk adalah tidak berasas memandangkan kawasan itu sememangnya merupakan tumpuan orang ramai.
“Masalah kesesakan lalu lintas bukanlah isu utama di situ dan sekiranya kita perhatikan, kesesakan ini berlanjutan dari tengah hari sehingga tengah malam kerana ia merupakan kawasan komersial yang menjadi tumpuan,” katanya.
Oleh itu, tegasnya, semua pihak tidak harus menjadikan masalah sedia ada sebagai penyebab untuk menghalang projek tersebut dilaksanakan sekali gus menafikan anak muda untuk berniaga.
Menjelas lanjut, Abdullah berkata, pihaknya diberitahu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu mesyuarat secara atas talian pada 2 Disember 2021 bahawa pembangunan kios di Lot 48661 dan Lot 48662 di atas kawasan hijau adalah bersifat sementara.
“Dalam keadaan sekarang ini, kita harus mengutamakan rakyat yang sedang menderita ekoran pandemik COVID-19 ini. Apabila keadaan mulai baik, kita tidak ada masalah sekiranya KWP dan DBKL mahu mengembalikan semula kepada keadaan asal,” katanya.
Ujarnya lagi, semua pihak perlu berlapang dada dan bertimbang rasa untuk membantu rakyat termasuk menyokong pembangunan ini yang ternyata dapat membantu golongan muda berniaga.
“Program ini perlu disokong dan KWP telah pun memperuntukkan sejumlah wang kerana ia mampu merancakkan semula ekonomi negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, pihaknya telah menjalankan bancian dan mendapati terdapat hampir 30 penjaja di kawasan itu. Kira-kira 21 penjaja mempunyai lesen sementara manakala bakinya merupakan penjaja baharu di kawasan tersebut.
Terdahulu, Wilayahku telah melaporkan bantahan penduduk dan peniaga kedai mengenai rancangan pembinaan kios UAMK di Desa Sri Hartamas. – WILAYAHKU