PELAN Antirasuah Organisasi (OACP) peringkat Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi telah dilancarkan sebagai usaha untuk membanteras budaya dan amalan rasuah dalam kalangan warga kementerian.
Bercakap mengenainya, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pelan tersebut telah digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) di bawah inisiatif 2.1.5 yang mewajibkan sektor awam untuk membangunkan Pelan OACP.
“Ia selaras dengan arahan Perdana Menteri No 1 Tahun 2018 Siri 2, No 1 Tahun 2019 yang berkaitan Pemantapan Governans, Integriti dan Antirasuah Dalam Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan KWP pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) Datuk Muhammad Yasir Yahya, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) Dr Hasnul Faizal Hushin Amri.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Zaizalnizam Zainun, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) Datuk TPr Lokman Abdullah, Pemangku Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Rithuan Mohd Ismail.
Menurut Shahidan, inisiatif penambahbaikan yang berimpak tinggi di dalam pelan ini pula adalah pelaksanaan pusingan kerja bagi jawatan berisiko dan sensitif untuk mengelakkan pelanggaran integriti (conflict of interest).
“Pihak kementerian dan agensi sentiasa mengoptimumkan inovasi teknologi dalam proses kerja bagi mengurangkan birokrasi dan memudahkan interaksi dengan orang awam.
“Contoh sistem dalam talian yang dibangunkan adalah Portal Residensi Wilayah, e-lesen, adu@ KL dan e-Tanah,” katanya.
Ujarnya, usaha membangunkan OACP secara serentak oleh Kementerian dan agensi dibawahnya menunjukkan komitmen pengurusan tertinggi yang sentiasa berusaha untuk memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa telus dan berintegriti.
“Polisi antirasuah KWP merupakan sebahagian daripada OACP telah mengambil kira perkara penting untuk mengekang rasuah dan salah guna kuasa.
“Komitmen mengenai pemahaman undang-undang, penerapan elemen antirasuah dalam penggubalan dasar dan pendidikan bagi memantapkan integriti dalam diri penjawat awam telah ditetapkan dalam polisi tersebut,” katanya. – WILAYAHKU