ATLET kanu Wilayah Persekutuan, Mohamad Nazrin Najib, 21, menyimpan hasrat untuk melayakkan diri dalam Sukan Olimpik sekali gus mengikut jejak langkah atlet slalom negara, Salahuddin Ayob yang berjaya ke temasya tersebut pada tahun 1996.
Katanya kepada Wilayahku, bagi mencapai hasrat tersebut dia kini sibuk menjalani latihan dengan lebih sistematik supaya berpeluang mengikuti kejohanan-kejohanan besar di luar negara.
“Lagi dua minggu saya akan terlibat dalam sesi pemilihan untuk tiga acara iaitu kanu polo, slalom dan dragon boat (perahu panjang) untuk kejohanan Sukan Asia yang akan berlangsung di China hujung tahun ini.
“Kalau berjaya terpilih untuk ketiga-tiga acara tersebut, saya terpaksa memilih salah satu darinya kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap satu-satu acara,” ujar pelajar Diploma Pengajian Sukan, Universiti Teknologi Mara ini.
Bercerita lanjut tentang sukan yang diminatinya itu, anak tunggal ini berkata sukan kanu perlu diberi pendedahan yang lebih meluas kepada anak-anak muda agar mereka tahu tentang kewujudannya di Malaysia.
“Sukan ini amat popular di luar negara. Saya rasa jika adanya pendedahan kepada pelajar di peringkat awal, maka tidak mustahil ramai yang berminat sekali gus kita berjaya mencari atlet pelapis,” ujarnya.
Katanya lagi, atlet kanu di negara ini juga perlu diberi peluang untuk menjalani latihan di luar negara memandangkan atlet luar dilihat lebih agresif dan berprestasi tinggi berbanding atlet dalam negara.
“Di luar negara kemudahan sukan ini lebih lengkap berbanding negara kita yang hanya mempunyai beberapa lokasi sahaja untuk latihan. Contohnya di negara luar turut dibina sungai tiruan untuk tujuan latihan.
“Jadi tidak hairanlah kenapa mereka jauh lebih bersedia berbanding kita. Ketika berpeluang ke sana pada Kejohanan Sukan Asia 2018, saya dapat merasakan prestasi diri jauh ketinggalan berbanding atlet luar,” ujarnya.
Pun begitu, menurutnya itu bukanlah alasan untuk tidak menyerlah dalam sukan ini. Malah kelemahan yang ada akan dijadikan penguat semangat bagi memburu kejayaan yang diidamkan sekian lama. – WILAYAHKU