Selebriti

“Jangan suka mengeluh, bersyukurlah” – Nazim Othman

|JANGAN lupa tonton lakonan Nazim Othman bersama Uyaina Arshad dalam drama bersiri Kau Cipta Kasih di TV3
- Diterbit 28 Januari 2022 12:10 AM MYT

PELAKON popular Nazim Othman, 38, menyeru kepada masyarakat agar sentiasa menerapkan rasa syukur dalam diri walau apa pun dugaan yang dihadapi.

Nazim berkata, pengalaman duduk rumah hampir dua tahun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 harus dijadikan semangat untuk terus memajukan diri.

“PKP adalah tempoh masa yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Pelbagai cabaran dari sudut mental, fizikal dan kewangan terpaksa kita lalui bersama.

“Bagi saya, antara pengajaran yang dapat diambil adalah sentiasa bersyukur dengan pekerjaan yang dimiliki.

“Apabila ramai yang kehilangan pekerjaan, barulah kita sedar betapa nikmatnya mempunyai kerja yang dalam kita meneruskan kehidupan.

“Bila PKP dah tamat, maknanya tuhan bagi bekerja semula. Jadi, dalam hidup ini jangan sesekali suka komplen atau mengeluh. Bersyukurlah.

“Sikap suka komplen dalam pekerjaan sebenarnya tidak bagus kerana kita seolah-olah tidak bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan,” katanya yang berharap mesej daripada pandemik dapat dijadikan inspirasi demi kebahagiaan masa depan.

JANGAN lupa tonton lakonan Nazim Othman bersama Uyaina Arshad dalam drama bersiri Kau Cipta Kasih di TV3

Menurut Nazim, banyak hikmah yang dirasainya ekoran COVID-19 melanda negara.

“Bagi saya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Apa yang saya boleh cakap, masa PKP rezeki saya masih ada, tidak putus.

“Misalnya saya diberi peluang untuk mempromosi produk-produk. Ia kekal ada sehingga ke saat ini. Tuhan tetapkan untuk rezeki saya lancar dan datang dari sumber lain. Alhamdulillah…

“Jadi saya anggap PKP itu adalah masa untuk berehat. Iyalah, kalau tak ada PKP memang setiap hari akan keluar pergi kerja. Tak kira malam atau siang, apa yang difikirkan hanya kerja.

“Dalam masa yang sama, bila PKP, saya pun tak boleh nak bercuti ke luar negara, jadi duit yang ada pun dapat disimpan,” ujarnya lagi yang kini muncul dalam drama bersiri Kau Cipta Kasih bersama Uyaina Arshad.

Nazim juga akan muncul dalam drama bersiri Sepi Tanpa Cinta (Astro Megadrama) dan telefilem Mendua (Netflix). – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas