Selebriti

Anuar Zain bantu frontliners, penggiat seni yang terkesan

Bangsar.|
- Diterbit 27 Januari 2022 12:36 AM MYT

PENYANYI popular Anuar Zain antara insan yang cukup prihatin terhadap keadaan sekeliling apabila ramai yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Untuk itu, penyanyi lagu Sedetik Lebih ini akan menjayakan Makan Malam Amal Anuar Zain – “Karena Aku Cinta” yang bakal diadakan pada 5 Mac 2022 ini di Ipoh International Convention Centre (IICC), Ipoh, Perak

Acara ini dianjurkan adalah untuk menghargai dan menyalurkan bantuan kepada anggota barisan hadapan “Frontliners” yang terkorban ketika menjalankan tugas sepanjang pandemik COVID-19.

Bukan itu sahaja, ia juga merupakan salah satu usaha untuk membantu para penggiat seni yang terkesan akibat pandemik yang melanda seluruh dunia itu.

“Saya teruja dengan persembahan amal yang bakal diadakan pada 5 Mac ini di IIC Ipoh dan saya tidak mengambil masa yang lama untuk memberi persetujuan kepada pihak penganjur tentang persembahan.

“Durasi persembahan dijangkan 40 ke 45 minit tetapi semuanya bergantung kepada aundiens dan lazimnya, persembahan saya sejam.

“Saya rasa teruja kerana lama tak mengadakan Persembahan dan kita berhibernisasi selama dua tahun dan untuk persembahan amal ini, bukan saya sahaja yang excited (teruja) bahkan kawan-kawan semuapun rasa excited,” jelas Anuar Zain yang ditemui pada sidang media Makan Malam Amal Anuar Zain – “Karena Aku Cinta” di Hotel Pullman, Bangsar.

ANUAR Zain dalam sidang media Makan Malam Amal Anuar Zain – “Karena Aku Cinta” di Hotel Pullman, Bangsar.

Karena Aku Cinta adalah salah salah sebuah lagu nyanyian Anuar Zain.

Dalam majlis sidang akhbar yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bond Holdings Sdn. Bhd, Ong Teng Boon mewakili penganjur berkata, majlis persembahan amal tersebut yang akan diadakan satu malam sahaja, turut mendapat sokongan Tourism Negeri Perak.

“Majlis makan malam amal anjuran bersama Bond Holdings Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sycal Ventures Berhad ini bertujuan untuk berhibur sambil beramal.

“Malah jemputan rasmi juga telah dipersembahkan kepada Duli-Duli Tuanku Perak”, katanya.

Menurut speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, makan malam amal ini turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Perak, Majlis Bandaraya Ipoh, Bond Holdings Sdn Bhd, Sycal Ventures Bhd, Tourism Perak Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa agensi kerajaan lain.

“Secara tak langsung, program-program seperti ini dapat menaikkan nama Negeri Perak sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kami berharap dalam proses pemulihan ekonomi ini, industri pelancongan dan kesenian Perak akan dapat dipertingkatkan, di samping memperkenalkan Ipoh International Convention Centre (IICC) di mata dunia.

“Ipoh International Convention Centre (IICC) merupakan mercu tanda bagi negeri Perak khususnya di Bandaraya Ipoh dengan keluasan 32,000 kaki persegi,” katanya.

Makan Malam Amal Anuar Zain – “Karena Aku Cinta” yang menerapkan konsep berhibur sambil beramal ini menawarkan tiket berharga dari RM 230, RM280 dan RM380.

Sebarang info lanjut dan pembelian tiket boleh hubungi atau WhatsApp di talian 011-36088001 atau boleh dapatkan tiket di kaunter tiket Bond Suites Sales Gallery @ IICC. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas