Seorang yang morning person dan tidak tidur sesudah solat Subuh. Itulah antara rahsia rezeki pelakon popular Fasha Sandha sentiasa murah.
Selain itu, selama 16 tahun dalam industri, kekal disiplin dan sentiasa memberi komitmen juga menyebabkan dirinya sentiasa relevan meskipun ramai pelakon baru menjadi pilihan stesen televisyen.
Bukan bermaksud berlagak baik, pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan ini berkata rutin hidupnya bermula sesudah solat Subuh.
“Sejak 16 tahun lalu saya memang jenis senang bangun pagi untuk memulakan rutin sebagai ibu, isteri dan anak seni.
“Saya selalu cakap dekat artis baru, yang lama kelamaan kita akan jadi ‘lama’. Itu putaran hidup. Cuma kalau tak bagus tak apa, berusaha memperbaiki kelemahan dan jaga benda yang boleh dijaga contohnya disiplin dan komitmen kerja.
“Dua hal itu saya tak boleh berkompromi. Insya Allah ada jalan dan rezekinya. Pada masa sama kita terus gilap bakat dan sentiasa belajar. Tahap sekarang pun populariti yang saya fikir. Kalau ada… bonus,” kata Fasha pada majlis memperkenalkannya sebagai duta atau pengguna setia produk vitamin C Gebu Glow keluaran Wawawien Beaute di ibu kota.

Malah hingga kini biar berganti wajah pelapis dunia seni, Isteri kepada Aidil Aziz dan ibu kepada Putra Rayfal, Putri Raysha Jemyma serta Aisha Amaira tetap berada di liganya tersendiri.
Malah selepas kali pertama membintangi drama Scammer Mei tahun lalu di Astro Ria terbitan Radius One Sdn Bhd, jodohnya terus melekat dengan produksi berkenaan.
Ia diikuti dengan drama Khilaf Asmara bergandingan dengan Fahrin Ahmad, Nelydia Senrose dan Fattah Amin. Seterusnya diikuti drama 80 episod yang masih melunaskan baki penggambaran iaitu Dendam Seorang Isteri buat kali pertama bergandingan dengan Nad Zainal.
Tidak hanya ‘laku keras’ dengan tawaran seni, kakak kepada Elisya Sandha ini juga terus diintai diberi kepercayaan sebagai duta produk.
Ramai tahu, Fasha tidak sembarangan atau asal boleh dalam menerima kerja ulasan produk. Sejak dulu lebih 15 produk sudah memilihnya menjadi duta.
“Macam jodoh saya dengan produk vitamin C ini pun bermula ketika menjayakan kempen tiga bulan sejak Oktober tahun lalu untuk mencuba dan merasai keberkesanannya.
“Saya pun sama seperti adik beradik pengasas Wawawien yang tak suka makan kapsul atau tablet. Ia dihadirkan dalam bentuk serbuk. Ternyata produk itu serasi dengan saya kerana bukan tujuan untuk memutihkan kulit. Tapi menjadikan kulit sihat.
“Rezeki berpihak kepada saya sejak Disember tahun lalu kerana dilamar sebagai duta atau pengguna setia selama setahun. Malah wajah saya juga sudah terpampang di billboard seluruh Malaysia sepanjang lebuh raya,” katanya. – WILAYAHKU