PELAWAK yang dicungkil bakatnya dari pentas Sinaran Pasport Kegemilangan, Pian Cecupak telah meninggal dunia di rumah ibunya di Flat Sentul Murni, Taman Datuk Senu, Sentul, Kuala Lumpur, malam tadi.
Menurut sumber, Allahyarham terjatuh ketika berada di dalam bilik air akibat serangan jantung dan ditemui ibunya, namun sudah tidak bernafas.
Berdasarkan rekod kesihatannya, Pian atau nama sebenarnya Mohd Rafik Abdul Rahman, 51, menghidapi penyakit tekanan jantung yang serius dan dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan pada 2018.
Terdahulu, ketika menyertai program Sinaran terbitan TV3, arwah bergandingan dengan Yassin Yahya membentuk duo dinamakan Gla Gla.
Selaku finalis, dia kemudiannya diserap masuk ke dalam sitkom Cecupak bersama barisan peserta akhir yang lain terdiri daripada Ropie, Usop, Pak Jaih dan Allahyarham Pak Lah.
Allahyarham bercerai dengan bekas isteri pada 2000 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Nuraina Fazrin dan Nurleena Fazrin. – WILAYAHKU