Berita

Kerajaan tubuh task force pasca banjir – PM

MENURUT Perdana Menteri, task force tersebut akan dianggotai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan lain-lain.
- Diterbit 26 Disember 2021 5:05 AM MYT

KERAJAAN akan membentuk pasukan petugas khas (Task Force) pasca banjir bagi memudahkan koordinasi antara agensi bagi memudahkan urusan yang berkaitan dengan bencana tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, task force tersebut akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan mesyuarat pertama akan dilaksanakan esok.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai Ketua-ketua agensi yang terlibat seperti Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan lain-lain yang akan ditentukan oleh KSN.

“Saya bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi pasca banjir dan persediaan gelombang ke dua kerana dari segi ramalan cuaca ia berkemungkinan akan berlaku.

“Kerja-kerja pasca banjir itu lebih besar rumit kerana bukan sahaja dari segi kerja-kerja pembersihan memerlukan koordinasi dan kerjasama dari agensi ia termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya yang melibatkan keperluan dan alatan.

“Begitu juga dengan pembahagian sumbangan daripada NGO, sumbangan wang ihsan, pembaikan rumah dan sebagainya dan memerlukan koordinasi yang betul-betul lengkap dan sempurna barulah dapat diselesaikan segera,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas