GABUNGAN pelakon hebat dalam telefilem Cincin Pusaka antara alasan utama drama ini perlu ditonton malam ini.
Mana tidaknya, Cincin Pusaka arahan pengarah popular Shuhaimi Lua menampilkan selebriti pujaan ramai iaitu Ziana Zain, Jasmin Hamid dan Salamiah Hassan.
Tidak lupa juga, pelakon remaja yang sedang meningkat naik iaitu Noki Kclique dan Elisya Sandha turut berlakon dalam telefilem komedi seram ini.
“Ini adalah lakonan pertama Noki K-Clique dan bergandingan dengan pelakon yang tidak asing lagi iaitu Elisya Sandha.
“Apa yang istimewa, drama ini turut menampilkan pelakon hebat Ziana Zain, Jasmin Hamid dan Salamiah Hassan. Saya tahu lakonan tiga diva ini pastinya ditunggu-tunggu malam ini.


“Salamiah Hassan juga buat pertama kali muncul sebagai pelakon,” ujar Shuhaimi Lua yang berharap mesej dalam Cincin Pusaka dapat diterima ramai.
“Selain para pelakon yang menjadi tarikan utama, Cincin Pusaka ini menyampaikan mesej yang berguna untuk masyarakat.
“Cincin Pusaka ini mengisahkan seorang abang dan adiknya berebut sebentuk cincin pusaka kepunyaan nenek mereka.
“Sebenarnya di sebalik semua ini, neneknya mahu mengeratkan lagi kasih sayang antara kedua-dua adik beradik itu yang selalu bergaduh.
“Adakah betul cincin pusaka itu wujud? Bagaimana dengan hubungan mereka? Jadi kenalah tonton telefilem Cincin Pusaka malam ini ya!” Luahnya lagi.

Jangan lupa tonton telefilem Cincin Pusaka, pukul 9 malam ini di TV9. Semoga anda terhibur. – WILAYAHKU