WK2

Tidur dalam khemah mewah, GL@W Putrajaya janjikan pengalaman menakjubkan

GL@W menawarkan perkhemahan glamour dan santai di dalam bandar Putrajaya.
- Diterbit 13 Disember 2021 10:35 AM MYT

TREND libur terkini, glamping  pastinya menjadi pilihan pengembara mahupun warga kota yang ingin lari daripada kehidupan yang sibuk dan melelahkan.

Bagi yang belum kenal istilah ‘glamping’, ia adalah gabungan konsep ‘glamorous’ dan ‘camping’, iaitu perkhemahan yang dilengkapi dengan ciri mewah.

Kebiasaannya di kawasan glamping ini anda boleh terus masuk ke dalam khemah dan tidak perlu bersusah payah memacaknya, ia juga lengkap dengan kemudahan makanan selain menyediakan tempat tidur yang selesa berbanding perkhemahan zaman sekolah dahulu.

Sejajar dengan perkembangan libur masa kini, banyak destinasi glamping yang boleh diterokai dan salah satunya di Glamping@Wetland (GL@W), Putrajaya.

Uniknya di sini, pengunjung yang hadir turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik dengan harga yang berpatutan selain menikmati kehidupan alam semula jadi serta panorama flora yang pelbagai.

Baru-baru ini, penulis berpeluang menikmati tarikan terbaru di Putrajaya selama dua hari satu malam dan ia memberi 1,001 memori indah yang tidak dapat dilupakan.

Seperti kebiasaannya, check-in  akan bermula pada pukul 3 petang dan sebelum itu kami dihidangkan dengan makan tengah hari secara buffet.

Antara menu yang wajib dicuba adalah daging salai masak cili api, keli berlada dan sambal kentang. Menu tersebut adalah sama setiap hari namun terdapat hidangan sampingan lain yang akan berubah bagi memberi kelainan kepada pengunjung yang datang menginap.

Di sebelah petang pula, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah yang terdapat di sekitar kawasan Gl@W antaranya ialah ATV ride yang berharga RM100/jam, perjalanan yang lebih jauh dan ekstrem akan digunakan manakala laluan yang lebih pendek dan santai disediakan sebelah malam.

Pengunjung juga berpeluang mengelilingi Taman Wetland dengan menaiki ATV yang hanya memakan masa selama satu jam setiap pusingan.

Setelah penat mengeluarkan peluh, pengunjung akan dijamu dengan makanan petang seperti roti jala, maggi goreng, nugget, kentang goreng, abc dan banyak lagi.

Selesai makan petang, sesi mengeluarkan peluh bersambung dengan aktiviti berbasikal menggunakan jalan yang sama ketika ATV ride. Basikal akan disediakan oleh pihak GL@W dan hanya perlu membayar serendah RM5 untuk tempoh tiga jam.

Di sebelah malam pula, pengunjung boleh menikmati BBQ Dinner seawal pukul 8 malam. Antara hidangan yang disediakan ialah kambing bakar, spageti, kentang goreng, nasi goreng kampung, mee goreng, sosej dan banyak lagi.

Sambil menikmati makan malam, pengunjung juga akan disajikan dengan pertunjukan api yang dipersembahkan oleh kumpulan Aqua Freqo Gopeng. Persembahan api yang ditunjukkan sangat memukau sehingga membuatkan penonton bersorak gembira setiap kali aksi ngeri dipamerkan namun awas ya persembahan ini di bawah pemantauan pakar jadi jangan cuba untuk meniru aksi tersebut semasa bersendirian.

Tidak lengkap sebuah perkhemahan sekiranya tidak membuat s’more atau marshmallow panggang untuk dinikmati di sekeliling unggun api. Oleh itu, GL@W turut menyediakan unggun api buat pengunjung yang ingin merasai sendiri pengalaman membuat s’mores  di malam hari tetapi jangan lupa untuk membawa bahan itu sendiri kerana pihak GL@W hanya menyediakan unggun api.

Hari yang penat ditamatkan apabila menghempaskan badan di atas tilam yang empuk, dilengkapi dengan pendingin hawa, penapis udara, khemah glamping yang luas dan mampu memuatkan sehingga empat orang dewasa.

Jelas ia memberi keselesaan seperti bermalam di hotel bertaraf lima bintang dan berbaloi dengan harganya bermula RM120 untuk satu malam. Harga tersebut juga termasuk sarapan, makan tengah hari, minum petang dan juga makan malam.

Hari terakhir bermula dengan sajian sarapan yang disediakan oleh pihak GL@W. Nasi goreng kampungnya yang pedas pastinya membuatkan anda teringat dan ingin kembali. Selepas itu, kami bergerak ke Garden Shop yang terletak berhampiran tapak glamping.

Terdapat pelbagai jenis tanaman hidup yang segar seperti pegaga, terung, bayam Brazil, serai wangi dan banyak lagi. Bagi penggemar pokok pastinya tempat ini diibarat ‘syurga’ buat mereka tambahan pula ia dijual pada harga yang rendah dan berbaloi. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas