KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyambut baik inisiatif Perbadanan Labuan untuk mensasarkan pelaburan sebanyak RM1 bilion bagi tempoh dua tahun sehingga 2022.
Ia adalah usaha kerjasama antara pelaburan pengusaha tempatan dengan pelaburan pelabur-pelabur antarabangsa daripada negara China, Hong Kong dan Vietnam.
Timbalan Menteri MITI, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mempuntai hubungan rapat dengan Perbadanan Labuan (PL) dan juga Labuan IBFC dalam usaha menggalakkan peluang pelaburan di pulau ini.
Katanya, MIDA Sabah merupakan ahli jawatankuasa kepada Jawatankuasa Pelaburan PL dan merupakan agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah dipertanggungjawabkan untuk menaikkan pelaburan ke pulau bebas cukai ini.
“Usaha serta inisiatif yang telah dilaksanakan dan akan diteruskan antaranya mengadakan perjumpaan dengan dewan perniagaan tempatan seperti DPMM, LCCC, LCCI dan KCCI Labuan.
“MITI akan mengadakan program Seminar Jangkauan Industri, serta menyediakan fasilitasi pelabur berpotensi dan program misi pelaburan domestik spesifik ke pulau ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan mengenai langkah proaktif yang dirintis oleh pihak Kerajaan bagi menarik minat pelabur untuk melabur di Labuan daripada Ahli Dewan Negara Labuan Senator Datuk Bashir Alias di Sidang Dewan Negara, semalam.
Sementara itu, jumlah pelaburan yang dilaksanakan dalam sektor perkilangan di Labuan dari tahun 1980 hingga Jun 2021 mencecah RM4.2 bilion.
Senator Datuk Lim Ban Hong berkata jumlah itu terdiri 28 buah projek dengan menyediakan lebih 3,600 peluang pekerjaan.
“Daripada jumlah nilai pelaburan itu, RM0.5 bilion atau 11 peratus merupakan pelaburan langsung asing manakala RM3.7 bilion atau 89 peratus merupakan pelaburan tempatan.
“Antara projek pelaburan utama yang telah dilaksanakan dalam pelbagai industri termasuk barangan petroleum dan pengilang makanan.
Jelasnya, sektor perkhidmatan di bawah seliaan MIDA jumlah pelaburan yang dilaksanakan bagi tempoh sama di Labuan adalah sebanyak 15 projek yang bernilai RM91.3 juta dengan 630 peluang pekerjaaan dalam aktiviti seperti hotel pelancongan dan perkhidmatan sokongan.
Katanya, daripada jumlah tersebut RM7.7 juta atau 8.4 peratus merupakan pelaburan langsung asing manakala selebihnya adalah merupakan pelaburan tempatan.
“Inisiatif yang dilaksanakan untuk meningkatkan pelaburan bernilai tinggi seperti memelihara strategik antara kementerian, memperkenalkan dasar pelaburan baru, memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas sedia ada serta memberikan fasilitasi yang terlibat secara menyeluruh kepada para pelabur,” katanya lagi. – WILAYAHKU