SEORANG bayi lelaki ditemukan dalam beg plastik di hadapan sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada pukul 9.15 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superitenden Basri Sagoni berkata, siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati, bayi lelaki yang dijumpai berada dalam keadaan cukup sifat dan baru dilahirkan.

“Dijumpai di dalam plastik yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan. Semakan pemilik rumah telah dibuat dan bayi tersebut dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit
kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi lelaki berkenaan diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan.
Tambahnya, maklumat lain berkaitan jenayah juga boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-21159999) atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – WILAYAHKU