DEWAN Perdagangan Malaysia (DPIM), Putrajaya bersama-sama sebuah platform dalam talian eJazmine.com, menganjurkan Program Bantuan Bakul Makanan kepada golongan usahawan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 semalam, di Sungai Merab, Kajang, Selangor.
Program bantuan tersebut telah pun dimulakan dengan melibatkan Persatuan Peniaga Sungai Merab dan akan diluaskan ke beberapa daerah lain termasuk Shah Alam, Hulu Langat dan Sepang .

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin, pihaknya terpanggil membantu pengurusan bagi memastikan kebajikan ahli terbela dengan mempunyai bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi.
“Pek Bakul Makanan yang disumbangkan terdiri daripada keperluan barangan keperluan harian beras, gula, tepung, bihun dan lain-lain.
“Setakat ini pihak DPIM dan eJazmine.com telah menyediakan sebanyak 500 bakul makanan sejak program dilancarkan,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan tersebut.

Hadir sama rakan kongsi eJazmine.com, Datuk Seri Mohd Rizal Mohd Yusof.
Khanafi menambah, idea mengadakan program tersebut adalah hasil daripada laporan yang diterima oleh DPIM Putrajaya yang menyatakan beberapa ahlinya terkesan akibat pandemik yang menjejaskan sumber pendapatan.
“Pada awalnya hanya usahawan DPIM yang terlibat dengan sumbangan bakul makanan, namun kami meluaskan bantuan kepada beberapa kumpulan lain yang terjejas. Diharap pada masa akan datang kami berupaya menyediakan lebih banyak bakul makanan untuk diagihkan.
“Sehubungan dengan itu saya berharap program Bantuan Bakul Makanan ini mendapat sokongan daripada orang ramai untuk bersama-sama menyertai usaha murni ini.
“Kami turut mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk badan korporat dan perseorangan menyalurkan sumbangan,” ujarnya.
Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi urusetia DPIM di talian 012 3069522. – WILAYAHKU