PELAN Pemulihan Negara (PPN) Fasa Tiga yang berkuatkuasa di Labuan pada masa ini, disambut baik seluruh penduduk pulau itu terutamanya golongan peniaga berikutan ia dapat membantu merancakkan semula sektor ekonomi.
Peralihan Fasa Tiga diumumkan kerajaan pada Rabu lalu susulan kes jangkitan COVID-19 di Pulau Bebas Cukai itu telah mencatatkan penurunan kes yang ketara dan mencapai kadar vaksinasi 80 peratus imuniti kelompok pada Julai lalu.
Dengan peralihan itu, ia umpama memberi sinar baharu kepada seluruh warga Labuan khususnya golongan peniaga kerana sebelum ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memberikan kesan teruk sehingga ada antara mereka hilang punca pendapatan susulan tidak dibenarkan beroperasi.

Pemilik kedai makanan Warisan, Ahmad Asri Othman, 53, berkata, ia merupakan satu sinar baru kepadanya kerana dengan peralihan ini, pelanggan dibenarkan makan di kedai dan secara tidak langsung ia dapat meningkatkan lagi hasil pendapatannya.
“Syukur Alhamdulillah, sebelum ini kita sudah hampir dua bulan tutup kedai dan sekarang ini ‘dine-in’ dibenarkan. Ia memberikan kelegaan kepada saya.
“Sejak beberapa hari ini, sambutan daripada pelanggan agak meriah juga dan sudah tentunya hasil pendapatan itu memberangsangkan juga,” katanya ketika ditemui Wilayahku.
Katanya, meskipun Labuan telah beralih ke fasa tiga namun ia bukanlah satu kebebasan dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi bagi memastikan keselamatan pelanggannya dan warga Labuan.

Dalam pada itu, bagi Rosnani Samsudin, 49, yang juga peniaga kedai makanan di Anjung Ketam Tanjung Aru berkata, peralihan PPN merupakan satu peluang kepadanya mengembalikan operasi perniagaan dan mengukuhkan ekonominya serta para pekerja yang sekian lama terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.
Katanya, peralihan Fasa Tiga yang turut membenarkan ‘dine-in’ memberikan kesan positif kepadanya kerana dapat meningkatkan lagi hasil pendapatan perniagaan yang mana sebelum ini keadaannya agak suram tanpa pengunjung.
“Sebelum ini, saya terpaksa tutup perniagaan dan seterusnya tidak dapat memberikan sumber pendapatan kepada pekerja malah saya juga terpaksa mencari inisiatif lain untuk mendapatkan pendapatan bagi meneruskan kehidupan seharian.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberikan peluang membuka kembali perniagaan yang agak lama terpaksa ditutup akibat COVID-19. Dengan peralihan fasa ini, kami kembali berniaga dan ia turut memberikan manfaat kepada pekerja saya yang sebelum ini tidak mempu nyai sumber pendapatan,” katanya.

menjadi tumpuan orang ramai.
Sementara itu, hasil tinjauan Wilayahku mendapati orang awam turut menzahirkan rasa gembira kerana peralihan yang diumumkan itu.
Pesara swasta, Simor Daud, 63, menyifatkan peralihan PPN sebagai langkah terbaik dalam membantu rakyat khususnya kepada golongan peniaga yang sekian lama hilang sumber pendapatan ketika tempoh PKP 3.0 lalu.
Menurutnya, dari segi ekonomi iaitu pembukaan beberapa sektor dan kelonggaran sebahagian SOP, sudah tentunya memberikan manfaat kepada peniaga, pekerja dan warga di Labuan.
Jelasnya, sebelum ini ada dalam kalangan mereka terpaksa tutup perniagaan dan pekerja mereka terpaksa cuti tanpa gaji sepanjang tempoh itu.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan Labuan beralih kepada Fasa Tiga yang mana beberapa SOP telah dilonggarkan seperti ‘dine-in’, pembukaan perniagaan dan sebagainya.
“Walaupun kita sudah beralih ke Fasa Tiga, namun sebagai warga Labuan jangan sesekali mengabaikan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan kita seharusnya menghargai peluang ini serta menggunakannya dengan sebaiknya demi memastikan Labuan tidak seperti dahulu yang mana setiap hari mencatatkan peningkatan kes yang mendadak,” katanya. – WILAYAHKU