Berita

LHDN tutup beberapa operasi perkhidmatan sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh

PERKHIDMATAN Kaunter Duti Setem di Pusat Setem Cawangan (PSC) akan mengikut hari bekerja setiap negeri dengan waktu operasi dihadkan. Kredit foto oleh: Astro Awani PERKHIDMATAN Kaunter Duti Setem di Pusat Setem Cawangan (PSC) akan mengikut hari bekerja setiap negeri dengan waktu operasi dihadkan. Kredit foto oleh: Astro Awani
- Diterbit 1 Jun 2021 1:14 PM MYT

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menutup operasi Kaunter Setempat (Perkhidmatan Percukaian) dan Kaunter Bantuan Khas Kerajaan di Pejabat Cawangan LHDN, semua Pejabat Satelit, Pusat Khidmat Hasil (PKH) serta Pejabat LHDN di Pusat Transformasi Bandar (UTC) sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

LHDN menerusi kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan Kaunter Duti Setem di Pusat Setem Cawangan (PSC) pula mengikut hari bekerja setiap negeri dengan waktu operasi dihadkan serta urusan melalui janji temu sahaja bagi tempoh 14 hari bermula hari ini.

“(Langkah ini) selaras dengan ketetapan LHDN sebagai salah sebuah agensi Kerajaan yang menjalankan perkhidmatan penting dan pada masa yang sama turut mengambil kira usaha berterusan kerajaan dalam memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19,” menurut kenyataan itu.

LHDN turut memaklumkan bagi urusan di PSC dan Kaunter Pusat Bayaran LHDN, perkhidmatan di kaunter dalam tempoh itu akan dihadkan kepada pelanggan berisiko rendah sahaja berdasarkan aplikasi MySejahtera.

“Para pelanggan disyorkan untuk membuat semakan senarai pejabat dan cawangan LHDN yang ditutup sementara terlebih dahulu sebelum hadir ke mana-mana premis bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” kata LHDN dengan menambah senarai tersebut boleh dicapai melalui pautan phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/Notis_Penutupan_Cawangan_LHDNM_1.pdf.

Selain itu, Kaunter Pusat Bayaran di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching akan beroperasi pada 8 pagi hingga 12 tengah hari bagi urusan mengenai cukai pegangan, seniman kembara, cukai keuntungan harta tanah oleh pemeroleh, kompaun serta cukai pendapatan dan lain-lain cukai.

Kenyataan itu memaklumkan perkhidmatan lain di kaunter pusat bayaran hanya akan beroperasi menerusi dalam talian.

Talian pejabat akan berfungsi seperti biasa dengan waktu operasi terhad iaitu bagi Hasil Care Line waktu operasinya adalah Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 4 petang, HASiL Live Chat beroperasi pada Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang manakala bagi ibu pejabat atau cawangan LHDN adalah ditutup.  – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas