DENGAN caruman RM19.40 sebulan, seramai 25,634 pegawai masjid kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang terdiri daripada imam, bilal, siak, noja, marbut dan guru takmir, kini mendapatkan perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM5.967 juta untuk membiayai caruman SKSPS kepada 22,504 imam, bilal, siak, noja, marbut dan 3,130 orang guru takmir untuk tahun ini.
Ketika melancarkan Perlindungan Perkeso Kepada Pegawai-pegawai Masjid dan Guru Takmir Seluruh Malaysia secara maya hari ini Zulkifli berkata, pegawai masjid terlibat layak mendapat manfaat yang disediakan Perkeso seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat dan faedah pendidikan.
Menurutnya, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov tahun lepas mengumumkan, caruman penuh di bawah Skim Bencana Pekerjaan Perkeso kepada imam, bilal, siak, noja, marbut dan guru takmir di seluruh negara.
“Ini adalah prinsip prihatin kerajaan terhadap kebajikan, perlindungan dan keselamatan ke atas golongan ini ketika menjalankan tugas terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19. Ini amat bertepatan dengan prinsip Maqasid Syariah dalam usaha memelihara nyawa daripada sebarang kemudaratan,” katanya.
Menurut Zulkifli, Jakim turut memperuntukkan sebanyak RM6.9 juta setiap tahun untuk caruman Perkeso, kepada 35,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sejak 2019, yang mana peruntukan tersebut disalurkan kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri selaku agensi pelaksana KAFA di negeri.
Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang turut serta pada pelancaran itu secara maya berharap, jumlah pencarum SKSPS dapat meningkat, kerana pada masa ini, hanya 5.43 peratus daripada 2.72 juta jumlah keseluruhan orang bekerja sendiri, mencarum secara aktif di bawah skim itu.
“Saya menyeru kepada mereka yang menjalankan pekerjaan sendiri termasuk pekhidmat masjid di bawah naungan Majlis Agama Islam Negeri dan pentadbiran swasta dan persendirian, agar segera mencarum dengan Perkeso bagi memastikan anda mendapat perlindungan di bawah SKSPS, sekali gus melindungi diri anda dan keluarga daripada musibah yang mungkin berlaku,” katanya. – BERNAMA