Berita

Sasar 4,000 hingga 5,000 suntikan sehari

- Diterbit 31 Mei 2021 7:27 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan imuniti berkelompok dapat dicapai ­lebih awal dengan lebih 80 peratus atau kira-kira dua juta penduduk terutama di Kuala Lumpur telah menerima suntikan vaksin COVID-19 sepenuhnya menjelang Oktober ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha itu akan dilaksanakan melalui trak vaksin bergerak MYMedic@Wilayah serta penglibatan beberapa ­klinik swasta sebagai alternatif kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada.

“Kita akan sediakan tujuh trak vaksin bergerak dan ada lagi tujuh klinik swasta akan terlibat dengan program vaksinasi secara percuma ini, dengan purata 4,000 hingga 5,000 sehari suntikan dos sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau program vaksinasi untuk ­golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Anjung Kelana, Taman Desa pada Khamis.

Mengulas lanjut, Annuar memberitahu, bagi melaksanakan program tersebut, beliau telah mendapatkan persetujuan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Tambah beliau, program Vaksinasi COVID-19 di klinik swasta akan turut dimulakan selepas 29 daripada 60 permohonan, telah diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM).

Mengenai saringan komuniti COVID-19 jenis Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) secara percuma, Annuar berkata, pihaknya sedang mengenal ­pasti lokasi yang sesuai dengan sekurang-kurangnya satu tempat di setiap Parlimen selain sedang melatih sukarelawan yang terlibat.

Baru-baru ini, Annuar mengumumkan untuk melaksanakan trak vaksin bergerak MYMedic@Wilayah melalui tujuh inisiatif Wilayah Cakna 5.0 dengan tumpuan di kawasan Perumahan Awam, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kampung tradisional yang akan bermula Jun ini. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas